CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 16 Mei 2009

Budaya Membaca Harus Disemai

Budaya membaca harus disemai

MEMBACA buku bukan sahaja bertujuan untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan kita terhadap pelbagai perkara atau kejadian tetapi ia merupakan tabiat yang patut diamalkan bagi memantapkan tahap ilmu pengetahuan dan minda kita.
Setentunya membaca buku bagi semua golongan tidak kira tua, muda mahupun di peringkat kanak-kanak lagi perlu ditanamkan agar kita tidak ketinggalan mengetahui apa-apa jua kejadian yang berlaku di luar sana. Tanpa membaca hidup kita seperti kehilangan arah dan punca. Ini kerana membaca bukan sahaja untuk meningkatkan ilmu pengetahuan tetapi dengan rajinnya kita membaca bahan bacaan dapat memperkasa bangsa bagi sesebuah negara itu sendiri.
Sesungguhnya jika kita menanamkan tabiat suka membaca dari zaman kanak-kanak sehinggalah kita meningkat dewasa ia dapat menjadi ikutan oleh anak-anak kita sendiri. Ini bukan sahaja menolong mereka mencapai pendidikan yang lebih baik tetapi ia turut menyuntik semangat rajin membaca bagi mereka sendiri. Bangsa yang berilmu pengetahuan bukan sahaja dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara tetapi dengan kepandaian atau kepintaran bangsa itu sendiri dapat memasyhurkan sesebuah negara di mata dunia.
Sesebuah negara perlu berlumba-lumba untuk menjadikan anak bangsanya menjadi bangsa yang mantap bukan sahaja dari segi ekonomi atau sosial tetapi dari segi kepintaran mengutarakan apa-apa jua pendapat mahupun perbincangan bersama-sama dengan bangsa-bangsa asing.
Di Negara Brunei Darussalam setentunya kita patut bersyukur kerana diberikan pelbagai kemudahan untuk menarik bangsa kita rajin membaca. Contohnya bagi murid-murid sekolah rendah telah diadakan beberapa pertandingan seperti Peraduan Mari Bercerita di mana seseorang murid itu diminta untuk bercerita. Bayangkan jika murid itu tidak lancar membaca tentu akan menyukarkan pertandingan yang disertainya. Bahkan peraduan seperti ini membolehkan seseorang murid itu menjadi berani kerana mampu berhadapan dengan para penonton.
Tidak ketinggalan, Dewan Bahasa dan Pustaka juga memainkan peranan yang penting dalam sama-sama mempengaruhi rakyat negara ini untuk menanamkan tabiat rajin membaca. Walaupun negara kita begitu maju dengan perkembangan teknologi maklumat tetapi bagi golongan tua pula membaca bahan-bahan bacaan seperti akhbar Pelita Brunei, Media Permata ataupun akhbar-akhbar luar negara yang masih merupakan pilihan utama mereka untuk sama-sama mengetahui kejadian-kejadian yang berlaku di luar negara.
Jadikanlah amalan membaca sebagai tabiat yang patut kita semai. Dengan membaca juga boleh menjadikan bangsa itu kukuh. Jika bangsa itu pincang, akan rosaklah keharmonian sesebuah negara itu. Apa yang perlu kita tekankan juga ialah bahan-bahan bacaan yang kita baca hendaklah menjurus kepada bahan-bahan yang berfaedah dan bermanfaat.
Contohnya jika kita rajin membaca bahan-bahan berbentuk keagamaan sudah setentunya akan meningkatkan lagi pengetahuan kita mengenai apa jua kemusykilan agama yang kita hadapi, di samping memantapkan lagi keimanan kita kepada Allah Subhanahu Wataala. Dari itu sama-samalah kita mendidik diri kita agar sentiasa mengamalkan tabiat suka membaca, kerana begitu banyaknya faedah yang kita dapat melalui bahan-bahan bacaan yang kita baca.