CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 16 Mei 2009

Kesedaran Sivik Kepada Belia

KESEDARAN SIVIK

'Masyarakat perlu menghayati dan mengamalkannya'
KITA masih lagi dalam suasana kemeriahan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-21. Patriotisme rakyat dan penduduk di seluruh negara 'terangsang' oleh suasana, ucapan dan saranan, aktiviti-aktiviti sambutan termasuk promosi-promosi yang begitu hebat di media elektronik dan media cetak.
Sudah banyak yang diucapkan, ditulis dan dipaparkan mengenai semangat 'patriotisme' terutama menjelangnya sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan setiap tahun. Sememangnya ia patut diulang-ulang agar ia meresap, melekat, sebati dan sentiasa segar dalam jiwa dan raga setiap warga Negara Brunei Darussalam sepanjang masa, bukan hanya terhad semasa sambutannya sahaja.
Ruangan ini telah beberapa kali memfokuskan mengenai semangat patriotisme dan peranan setiap warganegara dalam sama-sama mengekalkan kemakmuran serta mengangkat martabat bangsa dan negara.
FOKUS kali ini akan membicarakan mengenai 'kesedaran sivik' yang mungkin sesetengah orang menganggapnya sedikit lebih kecil dari 'semangat patriotisme' yang bunyinya begitu 'gah' disebut. Sebenarnya kesedaran sivik juga tidak kurang pentingnya malah perlu dimiliki oleh setiap warga kitani.
SIVIK
Dalam Kamus Dewan edisi baru, 'sivik' diberikan pengertian pendek sahaja iaitu 'ilmu tatarakyat'. Sementara dalam Kamus Dwi Bahasa, Inggeris - Melayu (DBP Malaysia), civics memberi makna: Ilmu, bagaimana orang hidup dalam sesuatu masyarakat, hak dan tanggungjawab warganegara; ilmu tatarakyat; sivik.
Jika dilihat pengertiannya secara meluas maka sivik juga menjurus kepada kehidupan berbangsa dan bernegara. Maka kesedaran sivik itu tidak kurang pentingnya malah menjadi pelengkap kepada 'semangat patriotisme' yang sering disebut-sebut itu.
Sejak dari kecil lagi, di rumah secara langsung atau tidak, ibu bapa membentuk anak-anak dengan didikan agama, budaya murni, disiplin dan keolahan diri. Nilai-nilai murni, disiplin dan keolahan diri itu sebenarnya sudah merangsang kesedaran sivik kepada kita.
Di sekolah, pengajaran ilmu tatanegara atau Sivik diajarkan secara lebih formal. Kita diajar bagaimana menjadi warganegara yang baik, bertanggungjawab kepada bangsa dan negara. Para pelajar diajar mematuhi peraturan dan undang-undang, disaran untuk sentiasa berbuat baik dan seumpamanya.
Kedua-dua institusi keluarga dan institusi pendidikan sama-sama berperanan dalam membentuk diri kita untuk menjadi insan dan warganegara yang baik. Tinggal lagi, ramai di kalangan masyarakat kitani yang masih kurang 'kesedaran siviknya' atau langsung tidak mempunyai 'civics minded'. Ia berpunca dari sikap tidak menghayati dan mengamalkan didikan dari kedua-dua institusi tersebut.
KEBAIKAN
Kalau sahaja semua orang mempunyai kesedaran sivik maka akan bertambah aman, makmur, sejahtera, harmoni dan selesalah lagi kehidupan kita. Apa tidaknya, orang berkesedaran sivik tahu akan tanggungjawabnya terhadap bangsa, negara dan masyarakat sekelilingnya.
Mereka yang berkesedaran sivik tidak akan melakukan perkara-perkara negatif, jauh sekali terlibat dengan gejala-gejala sosial. Mereka akan sentiasa berfikiran positif dan melakukan perkara-perkara yang baik serta berkebajikan.
Jadi jika ramai orang mempunyai kesedaran sivik maka akan berkuranganlah kes-kes kecurian, perlanggaran undang-undang dan peraturan, perbuatan pemugut, membuang sampah merata-rata, sikap tidak menghormati sesama insan dan seumpamanya.
Apa yang menyedihkan ialah perkara-perkara negatif seperti itu masih berlaku, malah semakin bertambah dalam masyarakat kitani. Takaduhung menyebut 'kesedaran sivik' ini, penulis tidak akan menumpukan kepada kes-kes berat atau jenayah 'skala besar', cukuplah menyebutkan perbuatan dan perlakuan negatif 'skala kecil' sahaja yang cuma memerlukan kesedaran sivik untuk membendungnya.
NEGATIF
Kita sering melihat atau mengetahui melalui media-media massa terdapatnya kecurian peralatan-peralatan daripada besi atau tembaga termasuk milik kerajaan yang disediakan bagi kemudahan orang ramai. Antaranya termasuklah, pintu dan pagar besi, kabel telekom, dawai elektrik, besi penutup lubang dan longkang, papan-papan tanda dan arahan jalan dan seumpamanya.
Besi, dawai dan tembaga tersebut dijual untuk mendapatkan duit secara mudah tanpa menghiraukan kepentingan awam, kerugian kepada kerajaan, di samping membahayakan dan menyusahkan diri mereka sendiri. Perbuatan itu semakin meningkat kerana 'harga besi' ketika ini melambung naik.
Dalam hal ini, para peniaga atau pekedai yang membeli barang-barang terpakai perlu insaf dan mengelak dari membeli barang-barang yang dicuri. Mereka seharusnya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata tetapi perlu mengetahui bahawa 'memiliki, menjual dan membeli' barang curian adalah salah di sisi undang-undang.
Satu lagi perbuatan yang langsung tidak mempunyai 'civics minded' ialah sikap pemugut sebilangan masyarakat kitani. Perbuatan ini termasuk perbuatan merosakkan telefon awam, merosak dan menconteng tandas, dinding-dinding bangunan, perhentian-perhentian bas, memecah cermin, merosakkan taman-taman rekreasi, bunga-bungaan, papan-papan tanda dan lain-lain lagi.
Terdapat juga orang kitani yang tidak mementingkan penjagaan kebersihan persekitaran, malah ada pula di antaranya yang mengotorkan alam sekitar dengan membuang sampah merata-rata, bukan di tempat pembuangan sampah yang dikhaskan.
Sampah sarap dilonggokkan di belakang bangunan atau dihumban dari kenderaan ke tepi jalan raya. Mereka tidak menghiraukan soal kebersihan dan kecantikan persekitaran kampung dan bandar, jauh sekali memikirkan betapa ia boleh membawa imej yang kurang baik kepada negara.
Di perkampungan air juga sama ceritanya, sebilangan penduduk membuang sampah sarap terus ke sungai meskipun tempat pengumpulan sampah telah disediakan. Walhal kemudahan pengangkutan dan pembuang sampah yang dikontrakkan kepada agensi swasta juga telah disediakan.
Kedua-dua senario di atas cukup menjijikkan mata memandang, baunya yang busuk menusuk hidung dan meloyakan tekak. Itu pun belum cukup menginsafkan mereka betapa kesannya boleh mengakibatkan pelbagai penyakit dan wabak yang akan menjejaskan kesihatan orang ramai.
PERATURAN
Masyarakat kitani juga harus menanamkan kesedaran mengenai perlunya memetuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan demi keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan orang ramai.
Umpamanya membawa masuk dan menyeludup daging dan ayam dari luar negara yang diragui kehalalannya, membawa dan menyeludup barangan terkawal atau diharamkan seperti minuman keras dan sebagainya.
Semua itu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama Islam malah boleh menjejaskan ekonomi negara, di samping kemungkinan menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit seperti 'selesema burung' dan lain-lain. Dari tangkapan-tangkapan yang dibuat terdapat juga sebilangan orang kitani yang melakukannya.
Ada juga di kalangan orang kitani yang melindungi pendatang-pendatang tanpa izin untuk terus tinggal dan bekerja di negara ini. Sebilangan lagi menjadi tali barut kepada penjenayah dari luar negeri yang melakukan jenayah seperti rompakan dan curi di negara ini. Mereka menjadi 'penghantar dan penunjuk jalan' ke tempat-tempat yang hendak dirompak.
Perkara seperti ini amat dikesali, ia tidak ubah seperti 'musuh dalam selimut' atau boleh diistilahkan sebagai 'mengkhianati' bangsa dan negara. Apa tidaknya, kestabilan negara akan terancam, manakala keselesaan orang ramai juga akan terjejas.
Untuk membendung kegiatan itu orang ramai perlu kembali kepada ajaran agama dan mengamalkan 'kesedaran sivik' dengan memberikan kerjasama kepada agensi-agensi penguat kuasa undang-undang yang berkaitan. Hubungi dan laporkan kegiatan negatif itu kepada agensi-agensi berkenaan.
PERINGATAN
Dalam sama-sama menginsafi dan membendung perkara tersebut, ada baiknya kita petik nasihat dan peringatan yang dibuat oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Hazair, Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Muhibah Penerangan bagi Mukim Kuala Belait berlangsung di Dewan Bandaran Kuala Belait baru-baru ini.
Yang Berhormat menekankan, setiap individu dan anggota masyarakat di negara ini tidak seharusnya membebankan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan perkara-perkara yang tidak sewajarnya melalui sikap, perangai dan tindakan serta aktiviti-aktiviti yang tidak bertanggungjawab.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, sikap dan perangai itu ialah membiarkan sahaja kegiatan antisosial dan jenayah berlaku di hadapan mata tanpa melaporkan kepada pihak-pihak yang berkuasa atau kita sendiri yang melakukan jenayah dan melanggar undang-undang seperti melindungi pendatang tanpa izin, menyeludup dan menjual minuman keras yang ditegah dan membawa masuk daging yang tidak dapat dipastikan kehalalannya.
"Kita sendiri yang melindungi pendatang-pendatang haram atau menjadi tali barut kepada penjenayah-penjenayah dari luar negeri bagi melakukan jenayah di negara ini; atau kita sendiri atau anak-anak kita sendiri yang menjadi pemugut ke atas harta benda kerajaan termasuk mencuri pagar-pagar besi longkang kerajaan dan tempat awam; atau kita sendiri yang membuang sampah merata tempat; atau kita sendiri yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," tegas Yang Berhormat.
Ke arah itu kita semua seharusnya mengelakkan diri dari terlibat atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan 'ajaran agama, etika dan moral' itu.
Akhir kata: Tanamkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat.