CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 3 November 2009

MENJANA GENERASI KREATIF

MENJANA GENERASI KREATIF

Tahun 2010 ini akan menjanjikan banyak perubahan dan perkara baru yang akan diterokai di pelbagai bidang. Melihat sahaja betapa rancak perubahan semasa berlaku, ia mengundang kepada sejauh mana kita ligat dan pantas menggunakan kesempatan perubahan bagi menjadikan lebih sesuai dan serasi dengan sebarang perubahan. Perubahan demi perubahan kini sudah menjadi asam garam kehidupan di zaman kita ini. Sama ada kita mahu atau tidak ia akan tetap berlaku. Bila ini sudah menjadi asam garam kita perlu menjadi ikan yang mampu bertahan di dalam semua keadaan. Falsafah seorang cendekiawan ini memang ada benarnya. Kita ikut dan ambil iktibar kehidupan ikan, betapa pun mereka berenang dan hidup di air masin dan tawar mereka tetap tidak akan dapat diubah rasanya. Hanya setelah mereka di bawa ke darat dan menjadi hidangan ia melalui proses resepi yang pelbagai rasa. Dimasinkan, dimaniskan dan pelbagai lagi rasanya. Namun ia tetap berkhasiat untuk makhluk memakannya.
PERANAN KITA
Peranan dan tanggungjawab kita dari perkembangan sekeliling yang dialami kini lebih menuntut kepada sikap pandangan dan sikap yang lebih fokus dan lebih kreatif. Fokus yang jelas dan lebih kreatif, juga perancangan yang lebih teliti akan lebih memberikan kemudahan dalam melalui proses pembinaan keupayaan diri. Kini dalam keadaan dan keperluan semasa yang semakin disibukkan oleh pelbagai perkembangan dan penemuan baru, ternyata kita semakin berdepan dengan kehendak yang memerlukan sikap dan ketegasan bertindak. Keupayaan yang sedia ada perlu kepada peningkatan berterusan agar ianya dapat melebar dan berkembang ke arah yang lebih proaktif dan berdaya saing. Kemampuan yang kita ada, tidak boleh lagi terhad di dalam lingkungan apa yang ada di hadapan kita sahaja, apa yang lebih penting ialah berani menerokai bidang ini dengan lebih meluas lagi.
Kita perlu membuktikan keupayaan kita untuk berperanan di arena antarabangsa adalah suatu sumbangan yang cukup meyakinkan. Namun ia perlu bermula dengan cara dan kemampuan melebarkan keupayaan agar ia tidak menjurus kepada fokus yang sehala dan tidak kreatif. Kepelbagaian dan juga keserasian dalam menentukan hala tuju yang dinginkan juga hendaklah jelas dengan apa yang kita ingin capai dan perolehi. Inilah sebenarnya yang akan membantu kita dalam memenuhi kehendak dalam melebarkan keupayaan diri. Kini semakin ramai yang melihat kemudahan dan perubahan sekeliling boleh dijadikan sebagai ruang kesempatan untuk melebarkan keupayaan. Kebolehan dan kecekapan dalam memenuhi ruang kehendak pula perlu dikemas kini agar ia mampu menanai perubahan dan kehendak semasa yang berlaku. Kita perlu insaf dan sedar betapa kehidupan yang kita lalui ini tidak boleh kita abaikan begitu sahaja. Kecuaian yang kita lakukan boleh sahaja mengakibatkan sesuatu yang tidak kita ingini berlaku, menerjah tanpa batas dan sempadannya. Namun ia tidak semestinya sebagai sekatan untuk menidakkan kita menggerakkan diri membina kehidupan di alam maya dengan sebaiknya.
BERI MAKNA KEHIDUPAN
Ramai yang sudah maklum pertambahan tahun yang kita lalui bermakna semakin singkat dan pupusnya umur kehidupan kita. Jika sisa-sisa kehidupan tidak kita pergunakan dengan sebaiknya, kita mungkin akan tergolong ke dalam golongan orang yang sentiasa dalam kerugian. Kerugian dalam erti kata, perjalanan kehidupan yang tidak bermakna. Inilah juga yang dinamakan sebagai kalangan yang berjiwa sempit. Kalangan ini akan sentiasa berdepan dengan keresahan, kekeliruan, kemunduran dan yang paling tidak menguntungkan, mereka ini lah ada kalanya menjadi 'parasit' masyarakat. Keupayaan kita untuk berfikir secara lebih konstruktif dan kreatif juga merupakan elemen penting dalam mengangkat keupayaan diri di tengah-tengah pergolakkan yang berlaku.
Inilah yang dinamakan perubahan yang menuntut kemahiran, kecekapan dan ketinggian pengetahuan. Kita perlu berusaha gigih dengan mengangkat kekuatan daya fikir kita. Justeru sekarang adalah masanya bagi generasi muda remaja kita menjadi 'young achievers' yang bukan setakat diiktiraf di tempat kita sendiri malahan ia perlu kepada pengiktirafan dunia antarabangsa. Rahsia kejayaan bukan mudah untuk diperolehi, ia memerlukan akan kemampuan untuk berubah dan perubahan itulah modal ke arah kemampuan yang lebih bermakna. Justeru pada waktu yang sama tunjang kepada kemampuan berubah ialah bagaimana kita mengerakkan daya fikir kita ke satu tahap yang boleh membantu kita menjadi pesaing yang hebat dan berupaya tinggi. Persaingan yang dimaksudkan tidak dapat tidak akan menuntut pelbagai keperluan. Namun keperluan yang sudah pasti menjadi hal utama ialah sejauh mana kita mempunyai kualiti diri yang bersendikan ketinggian ilmu pengetahuan. Inilah sepatutnya yang menjadi pengukur kepada kemampuan kita bersaing.
MAHIRKAN DIRI KITA
Dalam banyak hal pun kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa kemahiran diri itu mestilah bertunjang kepada ketinggian ilmu pengetahuan yang dimiliki. Sebagai anggota masyarakat yang akan lahir sebagai pesaing yang hebat dan mempunyai kualiti yang tinggi, kita akan menjadi penggerak kemajuan dan perubahan sosial. Justeru dalam arus kemajuan yang ingin kita capai tenaga muda yang berkemahiran, adalah amat diperlukan dalam mengisikan kekosongan dan keperluan kemahiran yang kita kehendaki. pelbagai sektor amat memerlukan tenaga mahir termasuklah bidang pendidikan, kejuruteraan, keagamaan dan bermacam lagi. Hatta di dalam bidang urus niaga dan perusahaan ia kini sudah menjadi satu keperluan yang amat dituntut kepada kalangan generasi muda terutama sekali kalangan mereka yang berkelulusan dan berpengetahuan tinggi.
Justeru untuk memenuhi keadaan sedemikian generasi muda remaja perlu mempersiapkan diri dari sekarang dengan memenuhi kriteria diri yang antaranya ialah meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan berusaha pencapai bidang akademik setinggi-tingginya. Resepi inilah yang akan dapat dijadikan sebagai pemangkin dalam meneruskan pengisian keperluan yang dinginkan itu. Kemampuan untuk berdaya saing dan juga kemampuan untuk menerajui ke matalamat kecemerlangan perlu diiringi dengan kekuatan diri yang terisi dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertaraf tinggi. Kemajuan tidak akan dapat dilakukan andainya kalangan masyarakat generasi yang ada tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan berkemahiran. Kerana itu kepentingan ilmu pengetahuan itu diletakkan pada satu tahap di mana akan menjadi kunci kepada kejayaan yang ingin kita capai. Untuk mengisikan diri dengan kepelbagaian ilmu, kita tidak semestinya merasa puas dengan pencapaian yang ada diri kita. Kita mesti giat berusaha meningkatkan daya kemahiran dan pendidikan hingga kepada satu tahap yang kita mampu menyaingi kalangan mereka yang sudah berada di hadapan kita. Sikap dan tindakan kita juga perlu seimbang agar setiap perancangan yang ingin kita gerakan akan memenuhi kehendak perubahan dan kemajuan negara.
JIWA BESAR
Kendatipun demikian kita sebenarnya adalah merupakan kalangan yang amat beruntung. Iklim kehidupan bernegara dan bermasyarakat membolehkan kita membina kehidupan ini dengan lebih baik dan sempurna. Justeru inilah peluang kita untuk melebarkan keupayaan dan untuk kita dapat membina dan mewujudkan anggota masyarakat yang berjiwa besar dan tahan uji. Keupayaan daya tahan dan pemilikan jiwa yang besar ini mempunyai kesannya yang tersendiri.
Memiliki jiwa sedemikian ini dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu bergerak aktif dan bertindak cergas namun akan melahirkan generasi yang mampu menanai pembinaan sebuah negara yang maju dan makmur lagi berdaya saing. Jiwa yang besar diadun dengan nilai-nilai keimanan dan ketakwaan yang tinggi itulah nanti menjadi struktur pembangunan yang akan mengukuhkan masyarakat dan bangsa sendiri. Dasarnya ialah jiwa besar yang lebih kreatif menuju ke arah kecemerlangan hidup yang lebih bermakna. Tahun baru ini akan memberikan perubahan dan perkembangan besar yang akan semakin deras dilalui. Justeru kita perlu bersiap dan menaganinya dengan lebih pro aktif dan berpandangan jauh yang darinya nanti kita mampu melebarkan keupayaan diri. Masanya kini untuk kita, menterjemahkan keupayaan kita sebagai generasi kreatif. Daya kreativiti yang tinggi dan keupayaan mewujudkan pembaharuan, penemuan terbaru dan membina kelainan pun adalah merupakan suatu yang amat diperlukan. Kreatif lah dan jadikan kemudahan dan peluang yang ada di Negara kita ini untuk membina sebuah generasi Negara kita yang lebih kreatif dan berupaya tinggi. Mampu bersaing dan mampu membina pembaharuan yang cemerlang.