CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Ahad, 23 Ogos 2009

BACALAH, JIKA TIDAK DENGAN MATA GUNAKAN TELINGA AWDA

Sudah beberapa kali Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Pesta Buku. Malah Berapa kalikah awda mengunjungi pesta itu? Bandingkan dengan kunjungan awda ke jualan barang-barang hiasan rumah, kain baju, peralatan elektrik dan sebagainya. Di sana dapat awda mengukur sejauh mana awda mendekati buku dan keinginan untuk membaca.
Apakah sebenarnya buku itu? Tidak kira apa jenisnya; buku politik, buku ekonomi sains atau sekadar novel picisan atau lelucon, bukan dihasilkan dengan penumpuan mendalam oleh pengarangnya. Bukan mudah dan mengambil masa singkat untuk menghasilkan sebuah buku. Seorang profesor menghabiskan masa bertahun-tahun menyelidik bagi membuahkan satu teori. Seorang ahli politik menempuh pelbagai dugaan suka duka, sepak terajang dan siasah untuk diabadikan pada generasi masa depan, seorang novelis memerah otak demi memastikan apa yang dikisahkan menimbulkan kesan mendalam. Nyata bahawa segala perahan fikiran dari pelbagai sudut, ditumpahkan dan diadun dalam penulisan bagi menghasilkan sebuah buku. Kerana itulah sering disebut-sebut bahawa buku adalah gedung ilmu.
Itu peringkat pengadunan idea dan pandangan. Lain lagi peringkat tekniknya. Soal penyuntingan, ‘layout’, tajuknya, jenis fon yang tidak menyakitkan mata, muka surat yang mudah, jenis kertas yang digunakan, urusan pencetakan, hak cipta, honorarium, kerja-kerja pemasaran dan yang penting harganya tidak mahal. Soal bahasa, jalan cerita yang stereotaip tidak mengapa, konflik novel yang sudah jadi klise pun tidak jadi hal. Asal buku berjaya menggamit rasa kumpulan sasar, sudah cukup. Pihak penerbit mengeluarkan pelaburan sebelum sebuah buku terhasil menjadi kenyataan. Jangka masa menerbitkan sebuah buku jauh lebih lama dan kompleks dari sekadar membelinya. Jadi kenapa tidak membeli curahan ilmu itu yang terkumpul dalam sebuah buku?
Cuba lihat bagaimana pelanggan membeli sebuah buku. Dari mata turun ke hati. Terpandang saja satu tajuk yang menarik terus jatuh cinta. Kulit buku cantik mengundang seseorang untuk mendekati buku. Langkah kedua, buku disemak muka depannya untuk mengetahui siapa penerbitnya. Kemudian ulasan ringkas pula dibaca, di kulit belakang buku. Setelah berkenan, seluk poket. Buku pun dibeli. Mudah bukan?
Inilah senario penerbitan buku dan bagaimana ianya sampai ke tangan pembaca. Bagi yang ‘gila’ buku, biasanya ia melihat dulu siapa pengarangnya, siapa penerbitnya, tahun bila diterbitkan dan apa soalan yang dikemukakan oleh pengarang. Soal harga belakang kira. Yang lain pula melihat harganya dulu kemudian tajuknya, terutama buku-buku novel. Jika pelanggan dari jenis manusia sentimental tajuk-tajuk yang menyentuh hati pasti cepat memancing untuk menyeluk poket bagi membeli buku itu. Sebab itu ada pengarang yang suka berulit dengan kata-kata cinta, sayang, rindu, romantis, cantik, indah, molek dan sebagainya.
Menggemari buku
Balik pada soalan awal tadi. Sejauh mana awda menggemari buku dan membaca? Ada yang kata dia tidak ada masa untuk membaca. Cukuplah berulit dengan buku masa di kolej atau di universiti. Ia ingin menikmati hidup di luar dunia buku. Betulkah begitu? Semua orang pun cuma ada 24 jam sehari. Beberapa minit diambil dari 24 jam sehari memadai. Ini akan membentuk diri awda menjadi manusia yang terus mengamalkan pendidikan sepanjang hayat. Otak tidak bertagar dan buntu.
Ada juga yang berpendapat bahawa buku sudah tidak penting. Orang sekarang mahu membina masyarakat tanpa kertas atau ‘paperless society’. Jangan salah tafsir. ‘Paperless society’ tidak bermakna awda memberhentikan soal membaca. Bukalah komputer, awda akan terus membaca walaupun huruf-huruf yang keluar berbentuk fon elektronik. Silalah layari laman web ilmu. Awda akan menemui pelbagai jenis buku yang ada di dalam pasaran. Buku masih relevan dalam dunia siber.
Di negara Barat di mana ketua pentadbir, CEO atau presidennya kesuntukan masa untuk membaca buku-buku tebal ribuan muka surat, mereka mengupah tukang-tukang baca untuk mendapatkan maklumat penting dari buku tersebut. Bahagian-bahagian dalam buku itu yang ‘dibanar-banarinya’ dan dibaca untuk dijadikan rujukan semasa menyampaikan ucapan-ucapan polisi, ceramah atau seminar. Jadi nampak benar mereka masih menyukai buku. Mereka mencari jalan untuk mengikuti aliran pemikiran penulis masa kini dan tidak dikatakan orang jahil dan singkat ilmu.
Hidup zaman moden ini sungguh canggih. Misalnya siapa kata orang buta tidak boleh membaca. Ilmu Braille dikembangkan. Maka adalah buku yang sama diterbitkan dalam bentuk Braille. Satu lagi kemajuan yang dicipta ialah buku dalam bentuk audio. Kalau mata tidak nampak untuk membaca, gunakan telinga. Orang cacat boleh berbuat demikian kenapa mereka yang dikurniai pancaindera sempurna tidak menggunakannya untuk tujuan murni. Kita segar dengan lagu-lagu ‘hip hop’ atau ‘heavy metal’. Kenapa tidak segarkan diri juga dengan sekurang-kurangnya ‘membaca’ buku-buku audio.
Umat Islam sudah dipandu dengan pengajaran bahawa wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah Iqra ... Bacalah. Maka itu, marilah kita ikut ajaran itu.
Dalam sejarah kegemilangan Islam terdapat beribu-ribu kitab terkumpul di perpustakaan-perpustakaan Baghdad, Basrah dan Kaherah. Umat Islam zaman tersebut menyanjung ilmu dan menghargainya. Misalnya dalam zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abasyiah, ketika kota Baghdad diserang oleh tentera Monghul, diberitakan beratus ribu kitab-kitab di Perpustakaan Diraja Kota Baghdad dihumban ke Sungai Furat sehingga air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam kerana dakwat dari kitab-kitab tersebut cair.
Jangan cepat naik radang bila orang kata kita orang bodoh. Lihat aspek positifnya. Nah, ruang kamar awda di rumah itu cuba jeling-jeling. Berapa naskhahkah buku yang ada? Apakah jenisnya? Adakah buku yang tersimpan jadi hiasan itu adalah buku yang dibeli dalam zaman persekolahan, 40 tahun lalu atau bahan sentimental dari buah hati yang sekarang menjadi isteri atau suami awda? Anak-anak muda pula cuba bandingkan jumlah dvd yang tersusun rapi dengan bahan yang digelar sebagai buku? Mana yang lebih banyak? Fikir-fikirkanlah sendiri. Buku gedung ilmu. Suruhan agama menyuruh kita, ‘Bacalah’. Kalau tidak dapat baca dengan ‘mata’, baca saja dengan ‘telinga’. Keputusannya ada di tangan awda.

ILMU PENGETAHUAN ITU LEBIH BERGUNA DARIPADA KEKAYAAN

Kata para bijak pandai, ilmu pengetahuan adalah harta yang tinggi nilainya, boleh dibawa ke sana ke mari dengan mudahnya, tidak perlu dijaga seperti menjaga harta, mudah disimpan di dalam otak dan tidak boleh dicuri orang. Ia mudah digunakan bila diperlukan.

Katakanlah ada seorang hartawan yang kaya raya. Beliau memiliki beberapa buah bangunan yang besar-besar. beliau menghantar semua anak-anaknya belajar untuk mendapat ilmu pengetahuan. Apabila anak-anaknya tamat dalam pengajian mereka dengan jayanya dan beroleh ilmu pengetahuan mereka ini dapat menambah harta keluarganya.

Sebaliknya jika hartawan ini tidak membekalkan anak-anaknya dengan ilmu pengetahuan, anak-anaknya tidak akan dapat menambahkan harta kekayaan keluar¬ganya. Mereka hanya pandai menghabiskan harta itu. Apabila harta itu sudah habis mereka tidak pandai mencari harta yang baharu sebab mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa ilmu penetahuan lebih penting daripada harta kekayaan.
Bila kita pergi ke satu tempat dengan berbekalkan ilmu pengetahuan hidup kita akan selamat. Orang akanmemerlukankitajika ilmu kitaitu diperlukan orang. Kita tidak mudah ditipu orang. Selain daripada itu kita boleh menjadi terkenal dan dihormati sekiranya kita memiliki ilmu yang tinggi. Berlainan dengan harta. Kalau kita bawa ke satu tempat banyak masalah dan kesusahan yang akan kita tempuhi. Kita sentiasa takut atau bimbang harta itu akan dicuri orang.

Dengan ilmu pengetahuan, kita boleh mencorakkan dan mengerakkan masyarakat ke arah kemajuan. Maju masyarakat majulah negara. Berlainan dengan harta. Harta hanya dapat dinikmati dalam jangka masa yang singkat sahajajika si pemiliknya tidak mempunyai pengetahuan. Sedangkan ilmu pengetahuan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Kerana itu saya memilih ilmu pengetahuan 1ebih utama daripada harta kekayaan

DISIPLIN ASAS KECEMERLANGAN DIRI

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Di sini ingin saya lahirkan rasa kesyukuran kerana di beri peluang keemasan di dalam dewan yang serba indah, dalam negara yang sentiasa aman, damai, suasana pagi yang gelap pada zahirnya bertukar cerah terus memberi laluan mudah kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, ‘Disiplin Asas Kecemerlangan Diri’.

Sidang dewan yang saya hormati,

Sebelum saya meneruskan bicara menutur kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk saya pada hari ini.‘Disiplin Asas Kecemerlangan Diri’. Disiplin membawa maksud kepatuhan kepada peraturan. Asas pula ialah tapak. Dasar merupakan satu permulaan. Manakala kecermelangan merupakan satu kegemilangan diri seseorang. Jadi, kepatuhan kepada peraturan merupakan tapak permulaan kepada kegemilangan diri seseorang.

Tanpa membuang masa merata-rata, izinkan saya rungkaikan beberapa misteri kecemerlangan dan kegemilangan diri yang sememangnya cukup mudah dikecapi, jika apa yang akan saya perkatakan sebentar lagi dipraktikkan dalam kehidupan.

Hadirin sekalian,

‘Akal yang cerdas terletak kepada tubuh badan yang sihat’. Tubuh yang sihat dan cergas memang diperlukan untuk menjalankan aktiviti seharian. Antara salah satu faktor yang perlu diambil berat ialah faktor kesihatan. Kesihatan dapat dijaga apabila pemakanan diawasi. Makanan yang banyak bahan perasa, bahan pengawet dan berkarbonat mestilah dihindari bagi memastikan safat otak berjalan lancar kerana bahan seperti inilah yang melemahkan ingatan dan menyebabkan sukar untuk menghafal sesuatu. Makanan seperti ini juga boleh menyebabkan kegemukan dan obesiti berlaku. Jika terjadi sedemikian, proses pembelajaran sukar untuk dijalankan. Oleh itu, sewajarnya kepada sesiapa yang mencari-cari kecemerlangan diri dan kehidupan berdisiplin perlulah menjaga pemakanan harian. Jaga pemakanan anda, ‘Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan’.


Peraturan semestinyanya ada di sekeliling kita. Hidup tanpa peraturan, mati. Factor yang akan saya tegaskan sebentar lagi berdasarkan aspek mematuhi peraturan iaitu patuh kepada arahan. Jalan raya trafik, rumah ibu bapa, sekolah guru, atau dimana sahaja kita berada pasti ada arahan dan peraturan tersendirinya. Pelajar yang cemerlang merupakan pelajar yang patuh kepada arahan gurunya. Anak yang soleh, meupakan anak yang mendengar arahan ibu bapanya. Dan pengguna jalan raya yang berhemat adalah pengguna yang akur dengan arahan dan peraturan jalan rayanya. Kajian akal menunjukkan individu yang cemerlang ialah individu yang akur dengan arahan. Contohnya, guru menyuruh pelajar mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah tetapi pelajar ini bukan seorang yang patuh pada arahan dan pasti tidak diendahkan kata-kata guru tersebut. Bagaimana ingin cemerlang jika berlaku sedimikan rupa? Ingat, patuh pada arahan, kecemerlangan dalam tangan!

Sidang dewan yang saya hormati sekalian,

Faktor terakhir yang ingin saya tegaskan pada hari ini adalah factor yang paling penting berkisarkan aspek dalaman individu itu sendiri. ‘Dimana ada kemahuan, di situ ada jalan’. ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Penat saya menyusun kata, tapi iltizam, keinginan, daya usaha, daya saing sedikit pun tidak terbit dalam hati, macam mana mahu cemerlang? Terletak pada individu, semangat juang untuk berjaya, untuk cemerlang semestinya ditanam dalam diri masing-masing. Orang cemerlang, orang punyai semangat juang. Datuk Azhar Mansor dan Datuk Sharifah Mazlina contohnya, keinginan yang tinggi, kemahuan membuak-buak untuk mengharumkan nama negara inilah, resepi utama yang membolehkan mereka mengecapi kemanisan kejayaan dan kecemerlangan. Lihatlah dunia, mana- mana pemimpin yang berdisiplin, yang bersungguh-sungguh, yang punyai wawasan dan cita-cita tinggi pasti disanjung masyarakat. ‘Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnyanya. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat kejayaannya.’

Hadirin sekalian,

Resepi kejayaan telah saya suapkan, keluarkan sedikit tenaga kunyah dan telan akan meresap ke dalam diri Akhir kata sebelum dewan ini kembali sunyi, saya mahu tegaskan sekali lagi, disiplin yang jitu dalam diri seseorang, mampu membawanya ke gerbang kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian wabillahitaufik walhidayah WASSALAM

KESAN-KESAN BURUK PENGGUNAAN INTENET

Selaras dengan perkembangan dunia teknologi maklumat pada masa kini internet merupakan saluran utama untuk mendapatkan sebarang maklumat secari cepat dan mudah. Internet merupakan satu rangkaian maklumat yang bolel diperoleh melalui komputer. Kempen kerajaan "satu rumah, satu komputer" adalal sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini. Namun, di sebalik kebaikan yang diperoleh daripada internet, terdapat kesan buruk yang timbul tanpa dapat disangkal lagi.
Internet secara tidak langsung dapat meracuni pemikiran remaja hari ini. Remaja bebas melayari laman web yang tidak sesuai dengan usia mereka seperti lamal web lucah. Bahan yang berbentuk pornografi ini boleh membawa kepada jenayah seks seperti kes ragol, cabul kehormatan, dan sebagainya.
Selain itu, internet juga dapat melekakan seseorang pelajar. Pelajar banyak menghabiskan masa dengan melayari laman web yang berbentuk hiburan semata mata. Masa yang sepatutnya diperuntukkan dengan mengulang kaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Kesannya, pelajar akan ketinggalan dari segi akademik
Penggunaan internet secara berlebihan dan tanpa kawalan juga menyebabkan remaja menjadi malas untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum seperti bersukan dan berpersatuan dapat menyihatkan badan tidal mendapat sambutan daripada pelajar. Remaja lebih suka menghabiskan masa d hadapan komputer.
Di samping menjadikan remaja malas mengikuti aktiviti kokurikulum, timbu juga masalah sosial yang turut menjadi bebanan kepada masyarakat. Remaja yang mengunjungi kafe siber akan lebih terdedah dengan masalah sosial sepert melepak atau gengsterisme. Selain itu, remaja juga mudah terpengaruh dengan budaya kuning yang diperaleh dari Barat.
Kesimpulannya, pihak ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka semasa, melayari laman web di internet. Kerjasama daripada semua pihak adalah perlu agar kesan baik penggunaan internet tidak ditutupi oleh keburukan internet tersebut. Remaja perlu dibimbing kerana remaja hari ini merupakan tonggak negara masa depan.

AMALAN BERJIMAT CERMAT

Amalan berjimat cermat adalah amalan yang mulia. Namun masih ramai yang suka membazirkan ketika bebelanja. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan pembaziran di kalangan msyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Setiap agama menggalakkan penganutnya agar sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat. Setiap hari di dalam akhbar, pemimpin negara telah melaungkan mesej supaya pengguna mengelakkan pembaziran demi kebaikan ekonomi keluarga dan negara. rni menunjukkan bahawa amalan pembaziran semakin berleluasa dan perlu diatasi. Persoalannya, apakah punca berlakunya tabiat yang negatif ini?

Faktor utama yang memungkinkan masalah ini ialah tiadanya perancangan dalam berbelanja. Apabila seseorang itu tidak melakukan sebarang perancangan yang teliti, dia akan terbeli barangan yang tidak mempunyai kepentingan atau tidak berfaedah. Akibatnya, barangan tersebut tersimpan di rumah tanpa dapat dimanfaatkan untuk kepentingan keluarga. Pembaziran telah berlaku dengan mengeluarkan wang untuk membeli barangan yang tidak memenuhi keperluan mereka yang membeli. Jelaslah bahawa tanpa perancangan, sukar untuk kita berjimat cermat.

Selain tiada perancangan, berbelanja berdasarkan kehendak atau nafsu juga menyumbang kepada keruntuhan amalan berjimat cermat. Hal ini berlaku kerana pengguna gagal untuk menahan diri daripada membeli sesuatu, terutama barangan yang dijual dengan potongan harga yang menarik. Perkara seperti ini selalu berlaku apabila menjelang musim perayaan. Pengguna akan rambang mata melihat jualan murah di pusat-pusat beli-belah. Sikap ini sebenarnya mengundang padah kepada kita sendiri kerana berbelanja besar dan merugikan. Pihak yang mengaut keuntungan sebenarnya ialah peniaga yang telah berjaya memperdaya pengguna.

Sikap suka menunjuk-nunjuk juga adalah faktor yang menyebabkan pengguna melakukan pembaziran. 1ni berlaku disebabkan mereka ingin bersaing dengan rakan-rakan atau ingin mendapat tempat dalam masyarakat. Memiliki barangan yang berjenama akan meningkatkan prestij pada mata masyarakat masa kini. Walaupun barangan tempatan murah dan mempunyai kualiti yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan barangan import, mereka masih keberatan menggunakan jenama tempatan yang pada anggapan mereka tidak melambangkan kejayaan dan kehebatan. Akibatnya, barangan import yang mahal menjadi pilihan lalu menyebabkan pembaziran.

Selain itu, penggunaan kad kredit tanpa kawalan juga menyebabkan pembaziran berleluasa. Dengan kad kredit, pengguna boleh melakukan pembelian tanpa pembayaran tunai. Pembayaran hanya akan dibuat pada hujung bulan. Pengguna tidak akan nampak dengan mata kasar akan nilai wang yang telah dikeluarkan ketika berbelanja. 1ni mendorong pemilik-pemilik kad kredit untuk berbelanja sesuka hati mereka tanpa had dan sekatan. Akibatnya, banyak barangan yang tidak seharusnya dimiliki telah dibeli oleh mereka. Maka, berlakulah pembaziran yang amat merugikan dan membebankan pengguna itu sendiri.

Kesimpulannya, tabiat membazir mesti dihindarkan demi kebaikan diri sendiri dan negara. Setiap anggota masyarakat perlulah berhemah ketika berbelanja agar amalan berjimat cermat dapat diterapkan. Diharapkan, dengan adanya amalan yang mulia ini ekonomi negara akan sentiasa kukuh dan stabil.