CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 18 Mei 2010

7 (TUJUH) PERINGKAT SOLAT

Apakah SOLAT yang kita lakukan sejak baligh sehingga ke hari ini diterima Allah? Pernahkan kita menganalisa, sejauh manakah kita khusyuk di dalam SOLAT, kerana khusyuk merupakan salah satu syarat untuk SOLAT itu diterima Allah.

Bagi orang-orang yang soleh dan solehah, mereka sangat mengambil berat tentang SOLAT. Sekiranya pekerjaan seharian terganggu, atau tiada kelancaran semasa bekerja, perkara pertama yang dilakukan ialah memeriksa semula sejauh mana khusyuknya mereka dalam SOLAT. Ini adalah kerana SOLAT merupakan hubungan manusia dengan Allah.

Sekiranya hubungan dengan Allah pun tidak selesai, dengan manusia tentunya lebih susah lagi. Seterusnya, ketaatan kepada pemimpin tidak akan berlaku sekiranya tiada ketaatan kepada Tuhan. SOLAT perlu dinilai dari segi berjemaah atau tidak, tepat pada waktunya ataupun tidak, khusyuk atau tidak dan kelurusan saf di dalam SOLAT. Untuk menilai SOLAT kita, mari kita bersama-sama meneliti peringkat-peringkat sembahyang berikut. Dalam golongan manakah kita dikategorikan.

1. SOLAT Orang Jahil

SOLAT seseorang yang tidak faham tentang rukun SOLAT, syarat wajib SOLAT, syarat sah SOLAT, persoalan suci dari hadas kecil dan hadas besar dan sebagainya. Sekalipun SOLAT itu kemas, tepat pada waktunya dan berjemaah, tetap tertolak kerana dilakukan tanpa ada ilmu.

2. SOLAT Orang Lalai

Pada zahirnya adalah lengkap. Ini kerana sebelum SOLAT itu dikerjakan, ilmu mengenainya sudah dipelajari. Bacaan dalam SOLAT dijaga betul. Tapi fikiran orang orang yang berSOLAT itu melayang, memikirkan perkara lain, tidak menghayati SOLATnya. Sedangkan khusyuk dalam SOLAT merangkumi khusyuk, akal, hati dan perbuatan. Golongan inilah yang dikatakan lalai di dalam SOLAT sepertimana firman Allah: "Sebab itu, celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang dan mereka lalai dari sembahyangnya." Surah Al-Ma'un, Ayat 3 dan 4. Mereka ini akan Allah masukkan ke dalam Neraka Wail.

3. SOLAT Kerana Selain Allah

SOLAT yang dilakukan kerana adat dan budaya. Mungkin seseorang itu lahir dalam suasana Islam. Sejak kecil dia melihat orang sekelilingnya SOLAT, lantas dia pun SOLAT. Ini bermakna SOLATnya bukan kerana syariat tapi kerana takut dimarahi ibu bapa, takut tersisih dan sebagainya. SOLAT bagi golongan ini juga tertolak.

4. SOLAT Peringkat Mujahadah

Golongan yang SOLATnya diperingkat ini pula, mereka memiliki ilmu tentang SOLAT dan berusaha menghayati SOLATnya. Mereka ada kesungguhan tetapi jiwa tidak hidup. akal sudah berperanan, tetapi hati belum dapat dibawa bersama di dalam SOLATnya. Bahkan di dalam SOLAT, mereka bermujahadah untuk mendapatkan rasa khusyuk. Allah sayang pada orang yang bermujahadah. Allah menerima SOLAT golongan ini setakat yang mereka khusyuk sahaja. Walau bagaimanapun, mereka masih belum tentu selamat. Terpulanglah kepada Allah menentukannya. Kalau dengan rahmat Allah, Dia hendak mengampunkan dosa hambaNya, Dia ampunkan. Kalau Dia hendak siksa pun, itu adalah hakNya sebagai Tuhan.

5. SOLAT Orang Soleh

Diperingkat SOLAT ini, akal fikiran sudah boleh ditumpukan supaya khusyuk kepada Tuhan di dalam SOLATnya tetapi jiwa dan hati belum sepenuhnya dikawal. Akal sudah boleh disibukkan dengan mengingatkan makna-makna bacaan dan pergerakan SOLAT. Golongan ini sudah tidak lalai dalam SOLAT. Untuk SOLAT kita diterima, kita sekurang-kurangnya berada diperingkat ini. Ia peringkat paling minimum.

6. SOLAT Para Wali

Di peringkat SOLAT para wali, akal, hati dan fizikal telah dapat dikawal. Golongan ini sudah dapat menghayati SOLAT. Apabila menyebut Alhamdulillah, hati terasa bersyukur dan akal memahaminya. Bila berdiri tegak, dia dapat merasakan bahawa dirinya sedang menghadap Tuhan. Bila bertasbih, terasa dirinya kerdil dan hina di hadapan Tuhan yang Maha Agung. Bila berdoa, hati sentiasa rasa mengharap. SOLAT beginilah yang melahirkan rasa kehambaan. Bahkan dapat merasakan kelazatan di dalam SOLAT.

7. SOLAT Para Nabi-nabi dan Rasul-rasul

Golongan ini terlalu khusyuk SOLATnya, dengan lain perkataan 'fana' dengan Allah. Roh mereka sampai ke alam yang tinggi. Sifat-sifat Allah dihayati sungguh-sungguh. Bahkan mereka boleh sampai ke alam malakut.

Begitulah di antara beberapa peringkat SOLAT yang boleh kita kategorikan. SOLAT yang dapat dihayati sungguh-sungguh akan dapat memberikan kesan kepada orang yang melakukannya. Sebaliknya rugilah mereka yang lalai di dalam SOLAT. Sembahyang mereka seperti patuk ayam yang tidak tahu makna apa-apa tentang SOLATnya.