Kepentingan Mata Pelajaran Melayu Islam Beraja
Kegiatan salah laku berleluasa di sekolah dan asrama.Semangat jati diri di kalangan murid dan pelajar kian lemah.Perpaduan di kalangan murid dan juga pelajar tidak kukuh seperti yang sepatutnya.Banyak peserta yang ingkar untuk menyertai Program .Semangat cinta kepada negara berkurangan akibat terlalu hidup mewah dan senang.Kalau begitu,pendidikan Melayu Islam Beraja amat penting dihidupkan kembali di sekolah.
Yang dimaksudkan dengan pendidikan Melayu Islam Beraja ialah mata pelajaran yang menekankan kecintaan dan kesayangan pada diri, ibubapa, keluarga, jiran,masyarakat,negeri dan negara.Kecintaan akan melahirkan sifat-sifat murni seperti berkasih sayang,bertolak ansur,bekerjasama,bertolong-tolongan,dan berkorban.
Mata pelajaran ini dapat memupuk seterusnya mempertingkatkan semangat nasionalisme dan patriotik murid dan pelajar.Semangat ini menyebabkan mereka sanggup bekorban tanpa semata-mata mengharapkan ganjaran.
Pendidikan Melayu Islam Beraja juga dapat menyerlahkan potensi dalam diri tiap-tiap pelajar.mereka dapat belajar bagaimanakah hendak mengembangkan potensi diri ini agar kelak lahir sebagai warga yang berjasa pada agama,bangsa, dan negara.
Akhirnya pendidikan ini juga membolehkan murid dan pelajar dapat membaca,memahami, dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.Mereka kenal akan sistem pemerintahan negara yang dikenali sebagai pemerintahan Melayu Islam Beraja.
Pendidikan Melayu Islam Beraja pastinya dapat menghidupkan semangat patriotik yang kian luntur di kalangan generasi muda.murid akan lebih kenal akan negara mereka baik dalam sistem politik dan pemerintahan mahupun dari segi perkembangan ekonomi dan kehidupan sosialnya melalui pelajaran ini.
Selasa, 2 Februari 2010
Bersopan santun amalan hidup orang Brunei
Perkataan sopan bermaksud beradab. Manakala santun bererti tahu tertib peraturan, halus budi pekerti, tahu adat, berbudi bahasa, baik akhlaknya, baik perangai dan kelakuan, tidak cabul, teratur dan rapi, mengikut peraturan. Budya sopan santun di kalangan masyarakat Brunei merupakan budaya yang diwarisi daripada ajaran dan asuhan nenek moyang. Ianya kekal sehingga ke hari ini menjadi amalan cara hidup yang melambangkan identiti masyarakat Brunei.
Di zaman kecanggihan teknologi ini, ramai yang sudah lupa akan budaya masyarakatnya terutama generasi muda kita. Budaya sopan santun dalam pergaulan, cara berpakaian, adab bertutur dengan orang tua tidak begitu diambil perhatian. Jika hal ini tidak diambil serius kemungkinan akan melahirkan generasi yang tidak tahu bersopan santun dan akan menimbulkan pelbagai masalah tatasusila, pergaulan dan sebagainya.
Masyarakat Brunei terkenal dengan budaya bersopan santun. Maka inilah yang mesti kita kekalkan menjadi gaya hidup seharian. Justeru itu, semua pihak mestilah memainkan peranan dalam menyebarkan dan mengekalkan budaya berkenaan, terutamanya di kalangan generasi muda, kerana mereka inilah bakal pewaris dan penerus generasi lama.
Pendidikan awal di rumah menjadi asas dalam menyalurkan didikan dan asuhan kepada anak-anak supaya mengenal erti sopan santun, contohnya ibu bapa mengajar anak-anak supaya menziarahi tangan orang tua sebelum pergi ke mana-mana, membongkokkan badan sedikit ketika melintas di khalayak ramai, memakai pakaian dengan kemas dan sesuai tidak kira di dalam atau luar rumah, di sekolah atau ketika dalam majlis.
Pendidikan di rumah memainkan peranan penting dalan membentuk peribadi anak-anak supaya patuh bersopan santun.
Masyarakat umum juga hendaklah turut terlibat dalam memastikan budaya tersebut dapat diamalkan dalam setiap urusan baik di rumah, di bangunan kerajaan, di jalan raya, di pusat membeli-belah dan sebagainya.
Jika budaya bersopan santun dapat dikekalkan dalam kehidupan seharian, insya-Allah kita akan dapat hidup dalam suasana yang aman dan bersatu padu.
Budaya bersopan santun merupakan lambang keperibadian orang Brunei sejak dahulu hingga sekarang, maka sewajarnyalah ianya tetap dikekal dan diperkukuhkan lagi bagi menangkis budaya-budaya negatif yang sedang meracuni pemikiran dan tingkah laku terutama di kalangan generasi muda.