PENTINGNYA KEBERSIHAN KEPADA MANUSIA
Pendahuluan:
Apakah yang dimaksudkan dengan kebersihan?
Isi-isi:
-Pentingnya kebersihan badan,
-Pentingnya kebersihan rohani,
-Pentingnya kebersihan persekitaran,
-Sekolah juga perlu bersih,
-Akibat pencemaran alam sekitar
Penutup:
Pentingnya kebersihan rohani dan jasmani kepada manusia untuk menjamin mutu hidup yang baik.
Kebersihan bermaksud tidak kotor yang merangkumi tubuh badan, udara dan air. Kebersihan tubuh badan dapat dibahagikan kepada dua iaitu secara luaran dan dalaman. Bersih dalaman bererti suci dan murni merangkumi jiwa, hati dan perasaan.
Kebersihan perlu dijadikan amalan hidup sehari-hari. Apabila tubuh badan bersih
kita akan kelihatan kemas dan menarik. Yang penting, diri kita tidak mudah dijangkiti penyakit. Sebabnya tubuh badanlah yang selalu terdedah kepada penyakit.
Hati juga harus bersih. Bersih di sini bermaksud tidak bemiat jahat terhadap sesama manusia. Dengan itu akan mudahlah terpupuknya perasaan kasih sayang, hormat¬menghormati, bertolak ansur dan harmoni. Hidup sesama jiran dan rakan,haruslah selalu berbaik-baik sangka antara satu sama lain.
Begitu juga dengan kebersihan persekitaran.--Makanan --¬dan minuman perlu bersih supaya tidak menjadi punca penyakit. Penyakit akan menyusahkan hidup manusia sepanjang masa. Sekolah perlu bersih. Sekolah yang bersih, kemas dan persekitaran yang hijau dapat melahirkan suasana belajar yang menyeronokkan.
Pencemaran alam sekitar Inenjejaskan mutu hidup manusia. Pencemaran alam sekitar berpunca dari banyak perkara. Ada yang disebabkan pembuangan sampah, pembuangan sisa kilang dan asap kilang perusahaan. Udara dan air menj adi kotar kerananya. Pencemaran ini menjejaskan hidupan air seperti di kolam, sungai dan hidupan laut. Kesemuanya menjadi sumber makanan manusia.
Oleh itu, kebersihan itu penting kepada manusia. Mutu hidup manusia bertambah baik apabila alam sekitar bersih. Yang penting, dalam diri manusia itu haruslah juga bersih supaya hidup lebih mesra dan berkasih sayang satu sama lain.
HMSA
Jumaat, 26 Jun 2009
Penting Kebersihan
Selasa, 23 Jun 2009
Bahaya Dadah Kepada masyarakat
Penyalahgunaan dadah sememangnya suatu perkara yang membimbangkan kerana pada masa ini banyak remaja dan belia terjerumus dengan najis dadah. Sekali mereka sudah terjerumus amat sukar untuk berhenti daripadanya. Ini adalah kerana dadah menyebabkan seseorang berasa tertagih.
Apabila sudah ketagih, lazimnya penagih dadah akan berasa terdesak untuk mendapatkannya semula dengan apa sahaja cara sekali pun. Mereka tidak tahan menanggung seksa tertagih. Inilah yang menyebabkan penaqgih sukar untuk berhenti dari menagih dadah.
Walau bagaimanapun keazaman yang kuat serta daya tahan yang tinggi dan semangat keinsafan dengan dorongan dan sokongan ahli keluarga dapat membantu mereka kembali ke pangkal jalan.
Penyalahgunaan dadah ini memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu itu sendiri tetapi juga kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Para belia merupakan aset penting di dalam sesebuah negara. Para belia merupakan pemangkin semangat ke arah masa depan pembangunan negara. Belia hari ini berdepan dengan cabaran-cabaran yang memerlukan perlengkapan diri yang berkualiti.
Ia tidak memberi sebarang kebaikan malah mendatangkan kerugian dari segi kewangan, keruntuhan moral dan akhlak dan sebagainya. Ia juga membuatkan seseorang terdorong untuk melakukan kegiatan yang dilarang oleh Allah seperti mencuri, membunuh dan sebagainya.
Kawan banyak memberi pengaruh kepada perkembangan perilaku anak-anak yang sedang meningkat remaja. Lazimnya mereka akan mudah terpengaruh dengan hasutan kawan yang membawa kepada kemusnahan, malah mereka tidak mendengar nasihat kedua ibu bapa, ponteng sekolah dan bermacam lagi yang mereka lakukan yang boleh mendatangkan keburukan ke atas mereka.
Pencegahan awal bagi membolehkan seseorang individu itu tidak terjerumus dengan dadah ialah peranan pihak ibu bapa melalui proses sosialisasi dalm mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan berlandaskan ajaran agama Islam. Dengan adanya ajaran dan didikan yang sempurna secara informal ini akan mengelakkan mereka dari terjerumus dari penyalahgunaan dadah.
Didik anak-anak kita dengan didikan yang betul, sentiasa berasama mereka, terangkan setiap perkara dengan tenang dan berdiplomasi. Oleh itu ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak-anak perlu tahu bagaimana untuk menjawab persoalan dan keingintahuan mereka.
Di sekolah-sekolah, pihak guru akan menjadi peranan penting dalam memberi ajaran dan tunjuk ajar kepada penuntut agar mereka tidak terjerumus dengan penyalahgunaan dadah supaya mereka memahami tentang bahaya dadah, sesuai dengan pemikiran mereka yang lebih matang dan bolehlah diberi pendidikan melalui mata pelajaran umpamanya dalam mata pelajaran sivik. Dengan ini bukan saja mendorong mereka mengikuti malah secara tidak langsung akan mempelajari dan memahami tentang penyalahgunaan dadah.
Pihak kerajaan terutama Biro Kawalan Narkotik, pihak polis dan pihak kastam akan mengawasi dan memerhati bagi memeriksa dengan teliti melalui kawasan darat dan laut. Pihak penghulu dan ketua kampung mesti berhati-hati bagi keamanan sebuah kampung terutama mengawasi rumah-rumah yang kosong. Ini adalah disebabkan rumah-rumah tersebut selalu menjadi sarang gejala dadah.
Adanya kerjasama pihak ketua kampung dan penduduk kampung akan membolehkan meraka membenteras gejala dadah di kawasan mereka. Jika terdapat sesuatu perkara yang mencurigakan, bersama-samalah berganding bahu untuk menyiasatnya dan melaporkan kepada pihak yang berkuasa, kalau ada orang yang menagih dadah.
Dengan adanya langkah ini, pihak berkuasa dapat bertindak dan memasukkan penagih dadah ke pusat pemulihan, lagi awal dirawat lagi besar harapan mereka untuk pulih dan kembali ke pangkal jalan.
Selain itu akibat dari penyalahgunaan dadah atau pengedar dadah boleh dikena hukuman berat seperti hukum gantung sampai mati. Sayang diri kita, keluarga kita dan masyarakat sekeliling kita.
Mnyedari hakikat masalah dadah yang begitu rumit dan kompleks, kerjasama orang ramai dan pihak kerajaan adalah sangat-sangat diharapkan bagi mengatasi bahaya yang dihadapi semoga kita mendekatkan diri kepada Allah jua.
Dayang Noryati binti Juni,
Semangat kejiranan kini semakin luntur
Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat.Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti aur dengan tebing.” Pada zaman kini, hubungan sesama jiran renggang “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.
Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia moden sering memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka.Corak pekerjaan yang dilakukan oleh masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Masyarakat zaman dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat bekerjasama di antara mereka, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama. Oleh itu, perubahan hidup masyarakat sekarang jelas menjadi penyebab kepada kelunturan semangat kejiranan masa kini.
Selain itu, kemajuan dalam bidang teknologi turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan masa kini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Kemudahan peralatan canggih seperti ini selalunya terdapat di dalam rumah mereka yang menyebabkan mereka semakin tidak menghiraukan semangat kejiranan. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Oleh itu, kemajuan dalam bidang teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan.
Arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca semangat kejiranan semakin luntur pada masa kini. Dewasa ini, pembangunan negara berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri sendiri berpanjangan dalam masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat yang bersikap seperti ini tidak akan berjaya kerana perpaduan mereka amat rapuh dan mudah dipengaruhi oleh anasir luar. Tuntasnya, pembangunan yang begitu pesat melanda negara juga menjadi punca kepada lunturnya semangat kejiranan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan , antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royong .Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran , bak kata pepatah “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekali gus dapat mengeratkan hubungan kejiranan sesama insan. Oleh itu, kempen amalan rumah terbuka harus diperhebatkan lagi agar boleh mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada seluruh warga Malaysia yang mendiami di bumi bertuah ini.
Intihanya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat.Semangat kejiranan juga penting dalam konteks negara kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa.Semangat kejiranan yang kental sekali gus dapat membantu usaha-usaha perpaduan negara yang selama ini menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan keharmonian negara.Marilah kita sama-sama mempraktikkan slogan “jiran sepakat membawa berkat” ini dalam kehidupan berjiran agar negara kita terus aman dan harmoni sepanjang masa.
Gejala Ponteng Dan Lepak
Sejak akhir-akhir ini, gejala ponteng dan lepak semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar dan membimbangkan masyarakat. Pelajar merupakan modal insan dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Jadi isu ini haruslah diberi perhatian dan langkah-langkah sewajarnya hendaklah dilaksanakan dengan segera sebelum menjadi lebih parah dan tidak dapat diselamatkan lagi ibarat “nasi sudah menjadi bubur.”
Terdapat pelbagai punca gejala tidak sihat ini berlaku dan salah satunya pelajar kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Kesibukan ibu bapa di tempat kerja untuk mengumpul wang demi masa depan anak mereka “memakan diri ‘ sendiri dan hanya tinggal impian semata-mata. Mereka tidak mempedulikan diri anak-anak mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang insan yang menjaga mereka semenjak kecil. Akhirnya apabila pelajar berasa bosan dengan kehidupan keluarga, mereka akan mula mencari rakan-rakan yang tidak berakhlak mulia yang suka ponteng dan lepak. Kadang-kala sikap ibu bapa yang suka menyalahkan anak mereka membuatkan jiwa pelajar memberontak dan bertukar menjadi seorang yang suka ponteng dan lepak. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin hendaklah menasihati dan menjaga perasaan pelajar dengan sebaiknya.
Pengaruh rakan adalah punca utama kepada gejala ponteng dan lepak. Pelajar tidak pandai untuk memilih rakan yang baik dan buruk. Apabila tersalah pilih rakan, agak susah untuk pelajar kembali kepada sikap asal kerana sikap buruk rakan akan secara perlahan-lahan meresap dalam jiwa pelajar dan menjadi sebahagian daripada diri pelajar.Pelajar haruslah tahu membezakan rakan yang membawa kepada jalan yang benar atau salah. Apabila berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan lepak, seseorang pelajar itu pada mulanya hanya mahu mencuba tetapi lama kelamaan akan menjadi tabiat dan tidak takut untuk melakukannya.
Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala ponteng dan lepak. Ada juga sekolah yang tidak mempedulikan gejala yang semakin berleluasa ini walaupun telah diberi amaran oleh pihak kementerian agar segera membendung gejala ini daripada terus merebak dalam kalangan pelajar-pelajar yang lain. Apabila nama sekolah tercemar barulah mereka sedar betapa pentingnya menangani gejala ponteng dan lepak ini.Walaupun begitu , terdapat juga segelintir dalam kalangan ibu bapa yang “menyerang” pihak sekolah kerana telah bertindak tegas dengan mengenakan hukuman terhadap anak mereka yang didapati bersalah dan mereka “seperti ular dikutik ekor” disebabkan ketegasan pihak sekolah menghukum terhadap anak mereka.
Selain itu, sikap masyarakat juga menjadi salah satu punca kegiatan pontenga dan lepak semakin berleluasa. Masyarakat bertindak “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” kerana enggan “menjaga tepi kain orang”. Masyarakat tidak melaporkan kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa apabila melihat pelajar-pelajar ponteng dan lepak Mereka sepatutnya menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak sekolah dengan terus melaporkan sebarang aktiviti pelajar yang mencurigakan.Keprihatinan dan kerjasama mereka amatlah penting bagi menangani gejala ini dengan membantu pihak berkuasa memusnahkan tempat-tempat yang menjadi “sarang” untuk pelajar-pelajar melepak dan ponteng.Sesetengah masyarakat enggan bekerjasama dan lebih suka mendiamkan diri kerana tidak mahu menyusahkan diri sendiri untuk membantu menangani gejala tersebut. Sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, mereka perlulah bersama mencegah gejala tersebut demi kebaikan dan kepentingan pelajar kerana”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah kesedaran dan motivasi kepada semua pelajar di sekolah , antaranya sempena Minggu Disiplin dan Minggu Penghayatan Islam. Penceramah tersebut mestilah orang yang berpengalaman dan dapat menarik minat pelajar secara berkesan seperti penceramah daripada pihak berkuasa iaitu polis.Melalui ceramah kesedaran tersebut, diharap para pelajar menyedari akan keburukan ponteng dan lepak yang boleh mengundang kepada gejala sosial yang lain.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk membimbing anak-anak kejalan yang betul .Mereka hendaklah sentiasa menghadirkan diri ke sekolah untuk bersama-sama berbincang akan sebarang masalah yang timbul berhubung anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengambil tahu akan perkembangan anak-anak mereka baik dalam aspek pendidikan mahupun pergaulan seharian anak-anak. Hal ini pasti akan menghindarkan anak-anak mereka daripada terjebak dalam gejala ponteng dan lepak.
Intihanya, semua pihak perlu bekerjasama dan saling membantu dalam usaha untuk membanteras gejala ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar harus bijak membezakan yang mana kawan ataupun lawan agar mereka tidak terpengaruh dengan gejala yang buruk ini. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” , itulah peribahasa yang perlu diamalkan oleh semua pihak dalam menangani gejala negatif daripada terus menjadi “duri dalam daging” yang akan merosakkan generasi akan datang yang bakal menjadi pemimpin negara nanti.
Bahaya Rasuah
Gejala najis rasuah terus menghantui masyarakat terutama kalangan si kaya dan pemimpin. Pelbagai cara dan perundangan yang digubal tetapi masalah ini terus menjadi-jadi sehingga ia bagaikan sudah sebati dengan si pelakunya. Jika si pemimpin memakan rasuah maka rakyatnya turut terpalit dengan najis rasuah kerana memang menjadi lumrah kehidupan bagaimana agama rakyat mengikut agama pemimpin. Cuma kadar rasuah itu sahaja yang berbeza samada besar atau pun kecil sedangkan dosanya adalah besar kerana ia membahayakan masyarakat. Islam memandang perkara ini sebagai suatu kesalahan yang berat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Si perasuah dan penerima rasuah keduanya dihumban ke dalam neraka
Punca Rasuah
1. Seseorang itu hanya tahu tentang hukum haramnya rasuah tetapi tidak mampu menghayatinya dari segi pengamalan dalam menghindarinya kerana keyakinan terhadap Allah dan hari qiamat tidak meresap dalam diri. Perasaan tamak dan mahukan sesuatu secara mudah menyebabkan segala hukum agama dilanggari tanpa memikirkan lagi mengenai dosa pahala, syurga dan neraka. Apa yang ada dalam kotak pemikirannya ialah hasil daripada rasuah sehingga tidak sedar lagi mengenai kezaliman terhadap diri sendiri dan orang lain.
2. Tiadanya kesedaran dan jahil tentang bahaya dan hukum rasuah disebabkan tidak belajar walau pun pada zaman ini jika seseorang mahu menuntut ilmu maka didepannya banyak kemudahan. Tetapi disebabkan sibuk mengejar dunia maka segala ilmu agama diabaikan kerana ia tidak mendatangkan keuntungan segera malah dianggap agama merupakan penyekat kepada kemajuan kerana semuanya tidak boleh dibuat dalam agama walau pun tuduhan ini adalah tersasar dengan Islam itu sendiri yang memang bersesuaian dengan fitrah manusia. Mereka mahu agama mengikut nafsu serakah mereka bukannya nafsu tunduk kepada kehendak agama.
3. Menjadi hamba kepada nafsu dengan tamak kepada dunia kerana mereka takut pada kematian dan panjang angan-angan. Mereka tidak terfikir bahawa dunia ini akan hancur dan mereka sendiri akan mati. Mereka lupa segalanya kerana terlalu terpesona dengan godaan dunia. Oleh itu mereka tidak memikirkan lagi tentang hukum dan bahaya rasuah tetapi sebaliknya sentiasa mengira keuntungan daripada perbuatan rasuah tersebut. Kadang-kadang mereka hebat bercakap dalam masalah membasmi rasuah sedangkan diri mereka terus bergelumang dengan najis rasuah.
4. Memisahkan antara etika kerja dengan etika akhlak sehingga merasakan bahawa kerja harian tidak bersangkut paut dengan agama dan hari akhirat. Mereka mudah terpengaruh dengan ideologi mechavelli yang memisahkan antara etika akhlak dengan etika kerja yang menyebabkan mereka mengejar kekayaan tanpa memikirkan kesalahan penindasan serta kezaliman terhadap mereka yang lemah melalui rasuah. Mereka menganggap perkara dunia ini tidak bersangkut paut dengan agama atau akhirat. Oleh itu mereka melakukan penyelewengan sesuka hati tanpa memikirkan lagi akibatnya berdasarkan agama. Bagi mereka agama tidak lagi mengawal mereka dalam masalah kerja dunia kerana agama hanya terpenjara ibadat sahaja.
Kesan negatif rasuah
1. Berlaku penindasan kepada mereka yang layak di mana mereka tidak mampu mendapat tempat walau pun mempunyai kelayakan yang mencukupi disebabkan rasuah. Ini menyebabkan timbulnya perasaan dendam terhadap pemberi dan penerima rasuah yang menjadikan suasana kucar kacir. Akhirnya banyak kerja terbantut dan terbengkalai malah banyak kerugian terpaksa ditanggung.
2. Timbulnya banyak masalah disebabkan mereka yang tidak mempunyai kelayakan diberi tanggungjawab disebabkan rasuah yang menyebabkan banyak kerugian dihadapi disamping banyak lagi masalah timbul. Ini membawa kepada huru hara dan kekacauan yang menggugat keharmonian negara. Hasil kerja tidak berkualiti malah banyak yang berada pada tahap yang merbahaya dan mengganggu masyarakat. Berlakunya penindasan terutama pemimpin negara sentiasa menjaga kedudukan si perasuah agar tidak menanggung rugi dengan menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya. Ekonomi negara terganggu dan kestabilan negara turut tergugat.
3. Penguasaan pemberi rasuah terhadap penerima rasuah yang menyebabkan banyak kemungkaran kerja tidak mampu diambil tindakan sewajarnya. Akhirnya keadaan sesebuah syarikat atau kerajaan menjadi
porak peranda apabila pesalah menguasai keadaan sehingga undang-undang rimba mula bertakhta. Keadilan mula terpinggir dan jenayah mula berkuasa sehingga keamanan masyarakat tergugat.
4. Wujud suasana saling menuduh dan sangsi terhadap satu sama lain yang menyebabkan kesatuan kerja terjejas. Ini menyebabkan kerugian dan kehancuran yang membahayakan masyarakat. Masing-masing meragui antara satu sama lain yang mewujudkan suasana benci membenci yang sememangnya melenyapkan kasih sayang dan kesatuan untuk kerja untuk maju
Cara menangani rasuah
1. Wujudkan kesedaran yang tinggi terhadap hukum dan bahaya rasuah dalam setiap peribadi bermula daripada pemimpin tertinggi sehingga pekerja dibawahnya
2. Hukuman yang berasaskan prinsip agama mesti dijalankan agar pelaku merasa benar-benar insaf bukannya takut dihukum sahaja
3. Tanamkan keyakinan bahawa etika kerja dan etika agama mesti bergerak serentak bukannya memisahkan antara keduanya
Isnin, 22 Jun 2009
Media Massa
Media massa merupakan antara faktor berlakukan gejala sosial.
Dahulu, pada zaman manusia belum mencapai tahap ketamadunan yang tinggi, alat komunikasi dan perhubungan untuk menyampaikan maklumat tidak dicipta. Mereka sekadar menggunakan burung dan asap daripada unggun api sebagai petunjuk dan utusan kepada seseorang. Namun, pada era teknologi maklumat kini, mesej-mesej dapat disampaikan dalam sekelip mata. Media massa terbahagi kepada dua iaitu media cetak seperti risalah, majalah, dan akhbar manakala media elektronik pula iaitu Internet, televisyen, dan radio. Namun demikian, media massa telah disalahgunakan dan menjadi salah satu daripada punca penyumbang utama berlakunya gejala sosial.
Tidak dapat dinafikan lagi, media massa merupakan penyumbang utama kepada keruntuhan moral di kalangan belia. Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada maklumat. Tayangan-tayangan filem Barat dan Hindustan contohnya, telah menolak unsur-unsur ketimurah yang sebati dalam jiwa masyarakat. Adegan-adegan lucah hanyalah sebagai halwa mata bagi mereka. Jadi, apabila filem tersebut dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru stail dan aksi artis pujaan mereka. Natijahnya wujudlah budaya ‘punk’, bertindik di telinga kiri bagi lelaki, seks bebas, dan lebih dahsyat lagi pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Secara tidak langsung, ia mencetuskan kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari iderttiti diri seterusnya terlibat dalam gejala hedonisme ini.
Di samping itu, konsert-konsert penyanyi dari negara Barat yang ditayangkan turut membawa impak buruk. Penyanyi dari Barat, terionjak-ionjak memakai jeans yang terkoyak sehingga menjadi kegilaan dan idola remaja. Sekali gus, hal ini turut menjajah minda remaja kerana mereka berfikir semua perkara yang baik datang dari Barat. Amalan-amalan tidak sihat seperti minum arak dan menagih dadah turut menjadi ikutan muda-mudi.
Melalui majalah-majalah pula, artis-artis tempatan yang kononnya menjadi contoh dan teladan sebenarnya semakin membawa remaja ke arab kemaksiatan dan keruntuhan moral. Kandungan majalah dan gambar-gambar yang memaparkan unsur pendedahan aurat yang keterlaluan serta menjolok mata semata-mata untuk mengaut keuntungan yang maksima menyebabkan rosak minda para remaja.
Gejala sosial dan kebejatan moral semakin gawat dan meningkat hari demi hari berikutan perkembangan media massa yang tidak terkawal dan maju umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula, kini wujud pula satu saluran maklumat yang canggih dan sistematik iaitu Internet disusuli pula dengan penubuhan pusat kafe siber. Pusat maklumat kafe siber menjadi sarang kepada golongan belia untuk melihat bahan-bahan negatif dan meneroka laman-laman web pornografi yang mempunyai bahan-bahan lucah dan unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam dan budaya masyarakat Malaysia.
Pusat-pusat Internet menjadi tempat untuk para pelajar melepak. Ditambah lagi dengan sistem langit terbuka dan dunia tanpa sempadan yang diwara-warakan oleh sesetengah pihak semakin menarik minat mereka. Pelajar-pelajar sanggup berada di hadapan skrin atau monitor komputer berjam-jam lamanya sehingga mengabaikan masa untuk sekolah hanya sekadar untuk mencari hiburan di kafe siber.
Dalam pada itu, penyeludupan video-video dan VCD dari luar negara semakin berleluasa. Remaja boleh mendapatkannya dengan mudah kerana video-video tersebut dijual di pasar-pasar malam dan iu,ga terdapat di pasar-pasar gelap. Di pawagam pula, setiap hari, pasti ada filem-filem seperti perang yang tidak sesuai untuk tontonan remaja di negara kita kerana Malaysia pada dasarnya adalah sebuah negara yang aman. Label 18SX, 18SG, dan 18PL hanyalah sekadar hiasan dan jarang sekali pemantauan diadakan. Jika muda-mudi disajikan dengan aksi-aksi lucah, perang, dan blues secara berterusan justeru lahirlah generasi alaf baru yang nilai moralnya mencecah ke paras sifar, malah sentiasa mengikut ideologi dan pandangan aging. Mereka mengagung-agung orang lain sehingga hilang semangat kepimpinan dalarn diri.
Konklusinya, media massa adalah antara penyumbang utama berlakunya gejala sosial, mendatangkan keburukan, dan membawa kesan negatif kepada remaja pada hari ini. Jika perkara ini masih berterusan dan tiada langkah drastik untuk menanganinya sudah tentu pada masa akan datang gejala-gejala buruk menjadi budaya golongan muda. Hasilnya lahirlah generasi yang menjadi ‘robot’ dan hanya diperalatkan untuk kepentingan individu tertentu
Sabtu, 20 Jun 2009
Kebaikan Dan Keburukan Memiliki Telifon Bimbit
Semakin zaman berlalu, telefon bimbit melalui pelbagai reka bentuk. Pada awalnya, telefon bimbit agak berat dan besar tetapi kini, telefon bimbit semakin kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Bukan sahaja orang yang bekerja, malah remaja juga kini ramai yang memiliki telefon bimbit. Di sini, saya akan membincangkan tentang kebaikan dan keburukan memiliki telefon bimbit.
Saya akan membincangkan tiga kebaikan telefon bimbit. Pertama sekali, penggunaan telefon bimbit memudahkan remaja untuk menghubungi keluarga di mana sahaja mereka berada. Contohnya, pada waktu kecemasan, kita dengan mudah boleh meminta bantuan ahli keluarga. Kita juga boleh memberitahu ibu atau bapa jikalau perlu pulang lewat agar mereka tidak rasa bimbang akan keselamatan anak-anaknya.
Kebaikan yang kedua adalah tentang memuat turunkan maklumat dengan menggunakan teknologi 'bluetooth'. Kita boleh melungsuri internet di telefon bimbit tersebut dan menyimpan data-data dengan mudah untuk menyelesaikan sesuatu projek.
Merapatkan silaturahim dengan rakan yang berada jauh di rantauan adalah kebaikan yang ketiga. Telefon bimbit 3G membolehkan kami membuat panggilan video dengan rakan di luar negeri. Teknologi sebegini membenarkan kami berbual sambil melihat wajah pemanggil, dan ini boleh mengubati perasaan yang rindu terhadap dirinya.
Di sebalik kebaikan yang telah disebutkan tadi, ada juga beberapa keburukan yang perlu diingatkan.
Yang pertama, jika kita tidak tahu mengawal kos, penggunaan telefon bimbit boleh mencapai beribuan dolar. Contohnya, kos membuat panggilan video agak mahal jika kita terlalu asyik berbual sehingga tidak sedari masa yang terlalu lama bergantung di telefon.
Remaja-remaja sekarang juga saling bersaing untuk memiliki model telefon yang terkini. Setiap kali, ibu bapalah yang mengeluarkan duit untuk mencapai keinginan remaja yang mahukan telefon bimbit. Bagi orang yang berkemampuan sederhana, ini menjadi suatu bebanan untuk memaksa diri memiliki benda yang tidak mereka mampu. Yang penting sekali ialah ini memupuk persaingan yang kurang sihat. Kita patut bersyukur terhadap apa yang kita ada.
Yang akhir ialah dikhuatiri pelajar meniru melalui SMS bersama kawan-kawan di dalam dewan peperiksaan. Kemudahan teknologi yang membantu dalam kehidupan tetap boleh membantu orang untuk membuat kejahatan, seperti mendorong sesetengah pelajar untuk menipu.
Saya rumuskan bahawa pelajar boleh memiliki telefon bimbit tetapi sebaiknya tidak dibenarkan untuk membawanya ke sekolah kerana di sekolahlah tempat untuk mereka menimba ilmu dan bukan untuk tunjuk-menunjuk telefon bimbit masing-masing. Telefon bimbit jika digunakan dengan sebaik mungkin boleh memudahkan kehidupan dan bukan sebaliknya.
Jumaat, 19 Jun 2009
Amalkan sikap Pembersih
Amalkan sikap Pembersih
Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ini adalah ungkapan yang sering kita dengar, namun apakah kita faham dengan pengertiannya. Yang jelas, kita perlu tahu bahawa sebarang isu kebersihan itu setentunya berkaitan dengan penyakit. Malahan berkait rapat di antara satu dengan yang lain.
Sebagai rakyat dan penduduk negara ini, adalah perlu bagi kita mengamalkan sikap pembersih. Dalam ajaran Islam sendiri, kita dituntut agar menjaga kebersihan dan jangan menjadi pengotor.
Menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian adalah penting. Sama ada anak kecil mahupun orang dewasa perlu dilatih agar menjaga kebersihan. Seperti kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Anak-anak kita yang masih kecil perlu dididik dan dilatih agar menjadi insan yang berguna yang sentiasa mementingkan kebersihan. Insya-Allah, jika diajar dengan sempurna anak-anak akan dapat mempraktikkan sikap pembersih sehingga mereka dewasa.
Natijahnya, kebersihan penting diamalkan setiap masa. Jangan hanya apabila ada penyakit merebak barulah kita sibuk dan meningkatkan kebersihan. Apa yang penting jadikanlah ianya amalan seharian jangan menunggu sesuatu penyakit tiba barulah tergapai-gapai membuat sesuatu tindakan. Ini bertepatan dengan peribahasa 'sediakan payung sebelum hujan'.
Anak-anak juga perlu dididik agar menjaga kebersihan diri sendiri. Mereka seharusnya tahu kepentingan membersih diri seperti mencuci tangan sebelum dan setelah makan dan juga selepas menggunakan tandas.
Seperti yang kita ketahui, Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) telah melanda negara kita, begitu juga negara kita mengambil langkah-langkah waspada terhadap penyebaran Penyakit Selesema Burung pada masa kini. Maka melihat senario, adalah mustahak bagi kita semua meningkat dan mengamalkan kebersihan seharian. Kita jangan mengambil endah tak endah dengan penyakit berkenaan dengan hanya membiarkan kerajaan bertindak sedangkan kita hanya berpeluk tubuh dan tidak berbuat sesuatu. Peranan yang kita mainkan ialah kita dituntut untuk menjaga kawasan dan pesekitaran agar sentiasa bersih.
Begitu juga kawasan sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, pusat-pusat membeli belah perlu dalam keadaan bersih. Tegasnya kita bukan sahaja mahu bandar-bandar kita bersih malahan tabiat pembersih hendak melarat ke kampung-kampung, mukim-mukim dan kawasan pedalaman.
Pada kesimpulannya, setiap rakyat perlu bersikap bertanggungjawab di dalam sama-sama menjaga kebersihan. Setiap kali kita menggunakan kemudahan awam seperti tandas awam, pondok-pondok rehat adalah penting untuk kita menjaga kebersihan tempat berkenaan. Dengan kerjasama semua pihak, insya-Allah akan memudahkan lagi kerja-kerja pembersihan, dan dalam waktu yang sama kita dapat mengekalkan negara bersih dan rakyat sihat seperti yang kita laung-laungkan selama ini.
Jumaat, 12 Jun 2009
Kebaikan Dan Keburukan Komputer
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KOMPUTER
Pada zaman sekarang yang mordern, saya pasti kebanyakan daripada kamu semua memiliki sebuah komputer di rumah masing-masing. Terdapat pelbagai jenis komputer di dunia ini. Komputer telah banyak berjasa kepada kami kerana ia boleh mengurangkan kerja-kerja kami yang akan mengambil lebih masa dan tenaga tanpa kehadirannya.
Komputer adalah sumber yang sangat penting di setengah kerja-kerja manusia. Contoh yang saya dapat memikirkan ialah menyimpan sijil kelahiran manusia, pengenalan peribadi (IC) dan yang lain-lain. Ini semua telah disimpan dengan betul dengan pertolongan komputer. Komputer juga boleh menolong manusia dalam segi kerja-kerja pejabat atau sekolah dan juga boleh mengecilkan kerja keras seseorang itu seperti memberi persembahan.
Sebagai seorang pelajar, saya sering menggunakan komputer untuk membuat kerja sekolah seperti sekarang. Guru melayu saya, Cikgu Ismail, juga telah bermula menyuruh murid-muridnya menggunakan komputer bagi kerja-kerja yang tertentu. Guru subjek yang lain juga sebergitu. Kebanyakan menggalakkan murid-murid mereka untuk membuat sebuah persembahan denga kegunaan komputer.
Sekarang, internet sudah menjelma. Dengan menggunakan komputer dan internet, kami dapat memhabiskan kerja-kerja kami dengan masa yang lebih singkat. Saya pula boleh berbicara dengan guru dan rakan-rakan saya melalui komputer dan internet.
Saya juga menggunakan komputer untuk membuang masa dengan bermain permainan komputer.
Semua benda pasti ada keburukannya. Oleh itu, komputer juga boleh menyebabkan keburukan kepada penggunaannya. Salah satu contohnya adalah di waktu seseorang remaja seperti saya sedang membuat kerja sekolah di biliknya. Semasa membuat kerja sekolah, remaja itu boleh terganggu oleh kehadiran komputer di depan matanya. Fikirannya akan sering memikirkan benda-benda yang lebih menyeronokkan daripada kerja sekolahnya seperti permainan komputer. Disebabkan itu, jika iman remaja itu tidak kuat, dia akan berhenti membuat kerja sekolah lalu meneruskan bermain komputernya.
Pada pendapat saya, pelajar perlu mengetahui tentang kegunaan komputer kerana dengan pengetahuan tersebut, pelajar akan tahu bila masanya untuk menggunakan komputer dan sebaliknya. Kerja-kerja seseorang pelajar akan tidak terhabis.
Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja
Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja
Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2009.
Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.
Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.
Kempen anti merokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.
Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.