Amalkan sikap Pembersih
Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ini adalah ungkapan yang sering kita dengar, namun apakah kita faham dengan pengertiannya. Yang jelas, kita perlu tahu bahawa sebarang isu kebersihan itu setentunya berkaitan dengan penyakit. Malahan berkait rapat di antara satu dengan yang lain.
Sebagai rakyat dan penduduk negara ini, adalah perlu bagi kita mengamalkan sikap pembersih. Dalam ajaran Islam sendiri, kita dituntut agar menjaga kebersihan dan jangan menjadi pengotor.
Menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian adalah penting. Sama ada anak kecil mahupun orang dewasa perlu dilatih agar menjaga kebersihan. Seperti kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Anak-anak kita yang masih kecil perlu dididik dan dilatih agar menjadi insan yang berguna yang sentiasa mementingkan kebersihan. Insya-Allah, jika diajar dengan sempurna anak-anak akan dapat mempraktikkan sikap pembersih sehingga mereka dewasa.
Natijahnya, kebersihan penting diamalkan setiap masa. Jangan hanya apabila ada penyakit merebak barulah kita sibuk dan meningkatkan kebersihan. Apa yang penting jadikanlah ianya amalan seharian jangan menunggu sesuatu penyakit tiba barulah tergapai-gapai membuat sesuatu tindakan. Ini bertepatan dengan peribahasa 'sediakan payung sebelum hujan'.
Anak-anak juga perlu dididik agar menjaga kebersihan diri sendiri. Mereka seharusnya tahu kepentingan membersih diri seperti mencuci tangan sebelum dan setelah makan dan juga selepas menggunakan tandas.
Seperti yang kita ketahui, Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) telah melanda negara kita, begitu juga negara kita mengambil langkah-langkah waspada terhadap penyebaran Penyakit Selesema Burung pada masa kini. Maka melihat senario, adalah mustahak bagi kita semua meningkat dan mengamalkan kebersihan seharian. Kita jangan mengambil endah tak endah dengan penyakit berkenaan dengan hanya membiarkan kerajaan bertindak sedangkan kita hanya berpeluk tubuh dan tidak berbuat sesuatu. Peranan yang kita mainkan ialah kita dituntut untuk menjaga kawasan dan pesekitaran agar sentiasa bersih.
Begitu juga kawasan sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, pusat-pusat membeli belah perlu dalam keadaan bersih. Tegasnya kita bukan sahaja mahu bandar-bandar kita bersih malahan tabiat pembersih hendak melarat ke kampung-kampung, mukim-mukim dan kawasan pedalaman.
Pada kesimpulannya, setiap rakyat perlu bersikap bertanggungjawab di dalam sama-sama menjaga kebersihan. Setiap kali kita menggunakan kemudahan awam seperti tandas awam, pondok-pondok rehat adalah penting untuk kita menjaga kebersihan tempat berkenaan. Dengan kerjasama semua pihak, insya-Allah akan memudahkan lagi kerja-kerja pembersihan, dan dalam waktu yang sama kita dapat mengekalkan negara bersih dan rakyat sihat seperti yang kita laung-laungkan selama ini.