CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 14 Julai 2009

Tajuk Lisan Bahasa Melayu

TAJUK CADANGAN LISAN BAHASA MELAYU PMB DAN SPN21
1.Ceritakan suasana majlis perkahwinan yang pernah kamu saksikan.
2.Cara-cara menghormati kedua-dua ibu bapa.
3.Cara-cara membantu mangsa mangsa banjir.
4.Faedah dan keburukan telefon bimbit.
5.Keburukan merokok kepada pelajar.
6.Suatu kenangan yang paling manis dalam hidup kamu
7.Tabiat buruk yang menjijikkan kamu
8.Perangai baik yang mesti kamu lakukan.
9.Pakaian remaja masa kini.
10.Cara-cara menarik pelancong ke negara kita.
11.Peranan ketua kampung.
12.Ciri-ciri kawan yang baik.
13.Bagaimanakah cara kamu mengulangkaji pelajaran.
14.Kebaikan dan keburukan kantin sekolah.
15.Sebuah kereta yang menjadi idaman kamu.
16.Bagaimanakah cara kamu mengatasi masalah.
17.Kamu ada seekor binatang kesayangan.
18.Ceritakan. Kegemaran kamu.
19.Faedah membaca buku.
20.Buat baik berpada-pada.
21.Kalau kamu menjadi seorang pemain bola yang terkenal.
22.Keburukan dan kebaikan ECA
23.Suatu perayaan yang pernah kamu saksikan.
24.Kebaikan berjoging.
25.Jenis hiburan yang kamu gemari.
26.Kawasan rumah yang bersih dan cantik.
27.Cara-cara bermain bowling.
28.Faedah mengumpul setem.
29.Negara yang pernah kamu lawati.
30.Bagaimana cara kamu berjimat cermat.
31.Kegiatan luar sekolah
32.Pengaruh Iklan kepada masyarakat
33.Kebaikan dan keburukan Komputer
34.Dadah musuh negara
35.Penyakit berjangkit
36.Bencana Alam
37.Kesan Peperangan.
38.Kemalangan Jalan Raya
39.Cuti Sekolah
40.Hari Keputeraan
41.Hari Kebangsaan
42.Melancong ke luar negeri.
43.Faedah membaca suratkhabar
44.Kebaikan dan keburukan menonton telivisyen
45.Kebaikan dan Keburukan Internet
46.Buah-buahan tempatan
47.Hidup Berjiran
48.Kegunaan air
49.Kebersihan alam sekitar
50.Faedah menabung
51.Keburukan berhutang
52.Disiplin sekolah
53.Perpustakaan
54.Ponteng sekolah
55.Kempen Kebersihan
56.Kesan dan Cara mengatasi penyakit Influenza (AH1NI)
57.Kesan rasuah kepada negara

Ahad, 12 Julai 2009

Peperangan Dan Kesannya

Semenjak kewujudan semua kehidupan, terutamanya manusia, persaingan selalu berlaku. Apabila berlaku persaingan yang terlalu sengit, niat untuk melenyapkan kehadiran pesaing lain akan mula bermain di pemikiran manusia secara automatik. Dengan itu, konflik dan pembunuhan berlaku melibatkan dua pihak dengan tujuan menghapuskan lawan. Senario itu mungkin terkawal sekiranya keadaan tersebut hanya melibatkan dua orang sahaja. Apa pula yang akan berlaku sekiranya keadaan itu melibatkan sekumpulan orang ramai, yang siap siaga dengan peralatan canggih untuk membunuh musuh masing-masing? Sebenarnya, yang disebutkan di atas itu merupakan definisi jelas bagi “peperangan” atau dalam bahasa Inggerisnya, “war”.

Peperangan bukan lagi sesuatu yang asing bagi kita . Setiap masa, peperangan berlaku di mana-mana sahaja, tanpa mengira tempat, waktu, keadaan dan cuaca. Antara contoh peperangan yang disenaraikan oleh para pengkaji sejarah ialah Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Vietnam, Perang Teluk dan yang terkini pencerobohan Iraq oleh tentera Amerika Syarikat. Peperangan sudah menjadi kebiasaan dalam tamadun kita kerana ini adalah sebahagian daripada sejarah kita. Namun, apa yang kita peroleh semasa dan selepas peperangan hanyalah suatu jenis kemusnahan berskala besar.

Peperangan, tidak kira skalanya, mesti akan melibatkan nyawa yang terkorban. Berdasarkan laporan media, kita mendengar beratus-ratus nyawa melayang begitu sahaja. Itu hanya khabar tentang kematian orang awam, apakah yang terjadi kepada askar-askar yang berjuang untuk negara masing-masing? Angka sebenarnya tidak kurang dahsyat berbanding orang awam. Sebagai contoh, pembunuhan besar-besaran di Nanjing semasa Perang Dunia Kedua. Lebih 10 juta rakyat dan askar China yang mati terkena bom, dibedil peluru berpandu, ditembak, diperkosa lalu dibunuh oleh askar-askar Jepun. Dalam kalangan mereka yang mati, terdapat juga kanak-kanak yang menjadi magsa peperangan. Kanak-kanak ini ada yang mati, cacat, dan ada yang trauma seumur hidup mereka. Peperangan sememangnya memberi impak negatif yang besar terhadap golongan ini yang digelar masa depan bangsa sehingga ada yang kecacatan moral akibat desakan masyarakat dan kehilangan kasih sayang daripada orang tersayang yang mati dalam peperangan.

Peperangan turut memusnahkan harta benda, sama ada harta benda awam mahupun harta benda persendirian. Banyak harta benda seperti bangunan, jalan, landasan kereta api, lapangan terbang, pelabuhan, jambatan dan sebagainya lenyap begitu sahaja ekoran kemaraan tentera penceroboh. Selain itu, harta benda seperti ternakan, tanaman, alat pengangkutan, hutan juga musnah akibat peperangan yang tidak munasabah. Harta benda ini merupakan kemudahan dan nadi kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Tidak hairan salah satu kesan sampingan peperangan ialah kebuluran dan kadar inflasi yang meningkat. Masyarakat setempat tidak mampu untuk membeli barang keperluan. Ramai yang terpaksa menjadi perompak, pencuri, pelacur dandan terlibat dalam pelbagai kebobrokan sosial semata-mata untuk mencari rezeki hidup. Di Malaysia semasa tahun 1941 hingga 1945, ramai perempuan yang terpaksa menggadai maruah mereka kepada askar-askar Jepun semata-mata ingin hidup. Apa daya mereka, hanya itu yang dapat dilakukan demi memastikan nadi terus berdenyut !

Selain itu, peperangan juga mengundang kepada kemusnahan tamadun. Tamadun-tamadun seperti tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus, dan Inca yang pernah menjadi tersohor dan agung pada suatu ketika dahulu, termusnah pada akhir zaman mereka akibat peperangan. Segala baik dan buruk yang terbina semasa tamadun tersebut hilang bersekali dengan kemusnahan tamadun tersebut. Banyak ilmu, teknologi dan ajaran yang baik dicipta oleh mereka yang arif dalam tamadun tersebut dianggap anasir-anasir buruk oleh pihak yang menceroboh lalu dihapuskan tanpa mengira nilainya menyebabkan manusia hari ini kehilangan banyak khazanah yang agung, seterusnya membawa kepupusan sesuatu bangsa. Mengapakah manusia boleh berbuat apa-apa sahaja untuk menghalang kepupusan spesies haiwan tetapi tidak terhadap kepupusan sesuatu bangsa?

Walaupun begitu, peperangan juga telah membawa satu kebaikan kepada kita, iaitu kemajuan teknologi. Banyak teknologi seperti bom berkuasa tinggi, alat perang seperti kereta kebal, jet pejuang, kapal terbang, dan sistem komunikasi yang lebih baik telah dicipta akibat desakan peperangan. Teknologi ini tidak semestinya membawa kemusnahan kepada manusia, tetapi dapat juga membantu kita. Sebagai contohnya, teknologi nuklear merupakan teknologi penting dan sistem penjana kuasa elektrik. Kod Morse yang merupakan sistem telegraf semasa Perang Dunia Kedua banyak membantu menyelamatkan dunia kerana hal ini menyukarkan pihak Pakatan Paksi untuk mentafsir informasi tentera Bersekutu. Selain itu, tanpa terciptanya teknologi perang, nyawa seseorang askar mungkin hanya akan melayang begitu sahaja. Dengan itu, sumbangan peperangan juga amat besar kepada kita. Persoalannya, adakah peperangan sesuatu perkara yang berbaloi? Berdasarkan kemusnahan yang dibawa melebihi apa-apa yang disumbang, maka peperangan hanya satu pertelingkahan manusia yang bodoh dan kejam.

Kesimpulannya, peperangan harus dielakkan kerana jalan penyelesaian boleh tercapai melalui jalan perundingan. Sudah banyak yang kita kehilangan ekoran perbuatan nenek moyang kita yang tidak munasabah. Oleh itu, janganlah kita menghilangkan apa-apa yang masih kita ada pada hari ini dan belajarlah daripada sejarah peperangan itu sendiri kerana sejarah pasti mendewasakan kita.

Sayangilah Alam Sekitar

Kepentingan alam sekitar

Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan mennyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan menjejaskan aktiviti-aktiviti pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik. Kepentingan-kepentingannya adalah:-
• Kesihatan manusia terjamin
• Tarikan pelancong asing
• Pembekalan udara yang segar
• Ekosistem yang stabil
• Habitat hidupan darat dan air terpelihara
• Mengelakkan kepupusan
Punca-punca
Kemusnahan alam sekitar diakibatkan oleh pelbagai pihak. Sektor perindustrian dan sektor pertanian yang merupakan sektor terpenting di negara kita turut menyumbang dalam kemusnahan alam sekitar. Selain itu,punca-punca lain adalah:-
• Penggunaan baja kimia dan secara berlebihan
• Penebangan pokok-pokok secara berleluasa
• Pembakaran terbuka
• Pembebasan gas-gas seperti gas karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain.
• Pengeluaran sisa-sisa bahan toksik yang berbau busuk
• Pembuangan sisa-sisa toksik
Kesan-kesan
Alam sekitar yang sedang mengalami kemusnahan telah membawa banyak kemudaratan kepada manusia dan hidupan tidak kira hidupan di darat ataupun di air. Antara kesan-kesannya adalah seperti berikut:-
• Pencemaran udara dan jerebu
• Fenomena hujan asid
• Pencemaran bau
• Pencemaran air
• Kemusnahan hidupan akuatik
• Peningkatan suhu sekitar/pemanasan setempat
• Keracunan
• Hakisan tanah dan banjir
• Kesihatan terjejas

Langkah-langkah mengatasi
Teknologi yang semakin canggih telah menghasilkan pelbagai produk menyebabkan semakin banyak berlakunya pencemaran. Secara tidak langsung, alam sekitar menjadi mangsa; baik di udara, laut ataupun di darat. Langkah-langkah haruslah diambil untuk 'membersihkan' alam sekitar daripada pencemaran.
Langkah-langkah ini dibahagikan kepada empat tahap:
• peringkat antarabangsa
• pemerintah
• organisasi
• individu.
Di peringkat antarabangsa, pertubuhan-pertubuhan seperti WHO ( Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Greenpeace telah ditubuhkan. Kedua pertubuhan ini bertindak sebagai pengawas pencemaran. WHO memainkan peranan penting dalam mengawal pencemaran dan berhak menetapkan peraturan mengenai alam sekitar. Greenpeace pula memberi maklumat kepada orang ramai mengenai pencemaran yang terjadi di dunia dan menunjuk perasaan jika berlaku sesuatau pencemaran alam.
Langkah yang kedua iaitu, pihak pemerintah dalam negeri, misalnya Singapura, telah mengadakan berbagai undang-undang dan acara untuk meningkatkan lagi mutu alam sekitar. Undang-undang seperti sesiapa yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan denda dan kehendaki membersihkan kawasan dengan diawasi oleh pegawai yang bertugas. Industri-industri yang membuang sampah atau kimia sewenang-wenangnya akan disaman.
Langkah ketiga, organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbang kepada kebersihan alam sekitar. Guru-guru sekolah harus menanamkan sikap prihatin kepada alam sekitar melalui pendidikan moral di sekolah serta mengadakan pertandingan antara kelas bagi kelas yang paling bersih agar si anak-anak murid mempunyai sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Balai rakyat pula boleh mangadakan pertandingan pada blok, kedai makan dan kawasan kejiranan yang terbersih. Kelab remaja booleh mengadakan himpunan untuk mengumpul suratkhabar dari rumah ke rumah dan juga memungut sampah di tepi pantai sambil beriadah. Syarikat harus mempunyai sikap tanggunjawab dalam pembuangan sampah.
Langkah keempat, adalah kita sebagai individu memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh digunakan semula ( reuse), menggunakan barang-barang yang dibuat dari barang-barang yang diproses semula ( recycle) dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan (reduce). Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa, sikap kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan dari dunia terus dicemar.

MENGAPA GEJALA SOSIAL TERJADI

Globalisasi & Modenasasi : Punca Gejala Sosial

Punca – punca utama yang mendatangkan gejala sosial adalah globalisasi dan modenasasi. Perubahan-perubahan pantas tahap nasional berlaku kerana perubahan pada arus global yang digelar globalisasi. Globalisasi tidak saja ditandai dengan dominasi ekonomi tetapi ia merentasi ke arah budaya dan pemikiran. Pembudayaan kota (city culture) menuruti landasan Barat berlaku dengan lebih pantas dan agresif dengan adanya teknologi maklumat dan multi media sebagai kenderaan yang amat berkesan untuk melakukan agenda globalisasi.

Lazimnya, kita sebagai manusia mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara baru dan trendy, yakni bukan dari budaya ketimuran. Tidak mustahil kita akan jatuh terpengaruh dan mengikut arah aliran kebaratan, terutama sekali golongan belia. Contohnya seperti mewarnakan rambut, memakai anting-anting atau tattoo bahkan sampai kepada hal-hal yang sangat teruk seperti pengambilan minuman keras dan pergaulan bebas yang boleh menjurus kepada masalah – masalah gejala sosial yang lebih serius. Mungkin sesetengah orang menganggap ini merupakan satu fenomena yang biasa namun di negara yang masih berpegang teguh pada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) seperti Brunei Darussalam, ia merupakan satu perkara yang keterlaluan dan perlu dielakkan.

Globalisasi bergerak seiringan dengan modenasasi. Dalam dunia serba moden ini, masyarakat mementingkan prestij dan kemewahan; oleh sebab itu, mereka menjadi semakin individualistik dan materialistik. Bandingkan dengan masyarakat tradisional, masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi, kompetitif dan tidak lagi menganggap saudara-mara atau jiran-jiran sebagai kelompok rujukan, bahkan adat tradisional seperti memuncang-muncang juga sudah ditinggalkan. Bukan saja ini berpaling daripada budaya kita sebagai orang Melayu tetapi juga daripada tuntutan agama Islam.Ukhuwah atau persaudaraan adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam memandangkan ianya akan dapat mengukuhkan perpaduan sesama manusia, khususnya sesama muslim.

Firman Allah SWT :

” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” Surah Al Hujuraat : Ayat 13

Semua orang mukmin adalah bersaudara, dan oleh yang demikian, ishlah (atau perhubungan baik) perlukan diwujudkan. Sekiranya terjadi ketidaksefahaman antara dua kelompok orang Islam, maka al-Quran telah memberikan contoh penyebab yang menyebabkan keretakan hubungan, sekaligus melarang setiap Muslim dari melakukannya.

Bentuk - Bentuk Manifestasi Globalisasi & Modenasasi Yang Membawa Kepada Gejala Sosial Dalam Masyarakat

• Media Massa
Pengaruh modenisasi dan globalisasi in lebih terasa dan ketara dengan bantuan berbagai alat media-massa yang serba canggih. Media massa merupakan sumber maklumat yg cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, namun tidak semua maklumat- maklumat itu sesuai untuk kesemua peringkat umur.Ini menjadi masalah kerana lazimnya golongan belia mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang ditonton.

• Internet
Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) juga turut menyumbang kepada pemaparan gejala-gejala negatif selain peranannya yang begitu penting bagi kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Melalui internet umpamanya, masyarakat yang berfikiran kurang sehat dengan mudahnya boleh akses kepada maklumat-maklumat yang boleh menjurus ke arah pemikiran negatif.

• Institusi Kekeluargaan Yang Goyah
Institusi kekeluargaan yang bermasalah juga boleh menimbulkan gejala sosial. Ibu bapa seharusnya menerap dan mendidik anak-anak mereka dari kecil. Sekiranya, ibu bapa bersikap sambil lewa terhadap pendidi kan agama anak-anak mereka, ini akan menjadi satu faktor punca gejala sosial.Dan lagi, dengan bertambahnya komitmen ibu bapa terhadap kerjaya mereka, masa diluangkan untuk keluarga itu terhad. Ini akan membuat anak - anak kurang mendapat kasih sayang dan tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kegersangan kasih sayang. Selain daripada itu, rumahtangga yang bermasalah juga, seperti perceraian dan pergaduhan turut mempengaruhi remaja untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
• Cara Berpakaian
Jika kita perhatikan pakaian sesetengah golongan muda di masa ini cukup memalukan. Cara berpakaian mereka bertentangan dengan cara pakaian budaya melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Mereka begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno, dan berfikiran sempit.
Sayangnya, tidak semua dapat menerima pendapat bahawa mereka ada memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan seks bebas. Walaupun Brunei Darussalam sebuah negara MIB, kita tidak dilarang berfesyen, akan tetapi berpadalah dengan aturan dan garis panduan syarak dan budaya yang telah ditetapkan.

Firman Allah s.w.t:
"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman,supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar),cara itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik),dengan itu mereka tidak diganggu, dan ingatlah Allah amat pengampun lagi amat mengasihani". Al-Ahzab : Ayat 59
• Dunia Cinta Remaja
Di zaman moden ini, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah SWT. Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Tetapi sekiranya perasaan ini tidak dikawal, sudah tentu ini akan menimbulkan gejala - gejala sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya.

Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.

• Terlalu Banyak Masa Lapang
Sekiranya masa lapang golongan belia terbatas,mereka akan rasa kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja untuk melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat seperti perbuatan negatif.
KESAN – KESAN GEJALA SOSIAL TERHADAP MASYARAKAT
Semua ini membawakan kesan – kesan negatif pada budaya dan cara hidup kita. Kebudayaan secara umum merupakan identiti keperibadian bangsa. Kebudayaan merupakan manifestasi konkrit norma-norma dan nilai-nilai sebuah masyarakat yang membezakannya daripada masyarakat­ masyarakat yang lain yang mempunyai sistem-sistem nilai yang berlainan. Struktur kehidupan sosial masyarakat banyak berubah. Budaya moden telah mempengaruhi 'keolahan dan tingkah laku', cara berfikir termasuk penghayatan terhadap ajaran agama.

Muda-mudi bergaul bebas, tidak menghiraukan batas-batas ajaran agama, tatasusila dan nilai-nilai murni ketimuran. Begitu juga dari segi pakaian.

Gaya hidup moden juga menjadikan sebilangan masyarakat bersikap individualistik, mengabaikan sikap kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat. Tradisi memuncang-muncang semakin pupus disebabkan urusan kenduri kendara dikendalikan menggunakan catering, manakala peralatan sama ada disewa atau dibeli. Kebanyakan masyarakat ketika ini juga bersikap 'materialistik' untuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup.

Khamis, 9 Julai 2009

Telefon Bimbit

Dewasa ini, setiap lapisan masyarakat khususnya golongan remaja memiliki telefon bimbit. Tetapi, apakah kepentingan telefon bimbit kepada para pelajar? Mengapakah semakin ramai pelajar sekolah memiliki telefon sendiri? Mungkinkah ada yang pihak-pihak yang menganggap bahawa telefon bimbit harus dimiliki oleh para pelajar untuk keselamatan mereka. Persoalannya, adakah telefon bimbit menjadi keperluan atau untuk bergaya semata-mata?

Menurut peraturan sekolah, para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Penulis berpendapat, telefon bimbit memang tidak diperlukan oleh para pelajar sekolah. Seseorang pelajar tidak mempunyai masa di sekolah untuk menggunakan telefon bimbitnya, tambahan pula terdapat kemudahan telefon awam di sekolah.

Telefon bimbit mungkin digunakan oleh pelajar semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan dijadikan alat bagi menyatakan statusnya. Hal ini akan menyebabkan perkara-perkara buruk seperti pengasingan pelajar miskin daripada pelajar yang berada. Masalah ini mengakibatkan golongan kaya angkuh dan malas manakala yang miskin tersisih.

Selain itu penulis juga berpendapat bahawa penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar hanya membazirkan wang ibu bapa dan membuang masa mereka. Perbualan kosong yang berlarutan antara pelajar melalui telefon menyebabkan sikap hedonistik dan berat tulang. Sebenarnya, telefon bimbit menggalakkan pelajar berkurung dalam bilik dan berbual-bual dengan rakan mereka tanpa pengetahuan orang lain.

Tidak dapat dinafikan bahawa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) memudah dan mempercepat urusan berkomunikasi. Walau bagaimanapun, penggunaan SMS oleh para pelajar mencemari bahasa kita. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang betul telah dicemari dengan penggunaan pelbagai singkatan dan ejaan yang silap. Akibat amalan ini, pelajar-pelajar yang lemah penggunaan bahasa akan menggunakan singkatan dan ejaan tang salah ini semasa berurusan dengan orang lain. Secara tidak langsung, imej negara kita dalam bidang komunikasi dan pendidikan akan jatuh.

Isnin, 6 Julai 2009

PENCEMARAN UDARA DAN KESANNYA

UDARA yang bersih dan segar amat diperlukan oleh setiap kehidupan. Pencemaran udara banyak mendatangkan bahaya kepada manusia. Pencemaran udara di Negara Brunei Darussalam tidaklah begitu serius kerana negara kita belum mempunyai banyak industri. Cuma yang membimbangkan ialah pencemaran udara yang dikeluarkan dari asap ekzos kendaraan. Penggunaan minyak kereta tanpa plumbum merupakan cara yang baik dalam mengatasi pencemaran udara ini. Karbon monoksida, sulfar dioksida, nitrogen dioksida, plumbum dan hidrokarbon yang keluar dari asap ekzos kenderaan itu tadi boleh mencemarkan udara dan mendatangkan manfaat kepada kesihatan. Udara kotor yang dihasilkan dari kilang dan kenderaan bermotor itu juga boleh menghakis lapisan ozon yang berfungsi melindungi bumi dari pancaran 'ultra violet' yang berbahaya pada kehidupan bumi. Apatah lagi dunia sekarang ini hangat memperkatakan mengenai ozon yang semakin menipis dan perubahan iklim.

Masalah perubahan iklim boleh menimbulkan satu bencana kepada seluruh penduduk dunia, oleh kerana itu kerjasama semua pihak memang di- perlukan. Cara pemikiran dan sikap manusia juga merupakan salah satu faktor utama dalam mengurangkan pencemaran udara yang menyumbang kepada perubahan iklim. Memandangkan kehidupan kita bergantung pada alam sekitar, maka sewajarnya kita memelihara, mengekal dan menyelamatkannya selaras dengan kepentingan dan keperluan kehidupan. Sekarang cuaca dunia semakin panas, paras air laut semakin naik dan lapisan ozon pula kian menipis. Ancaman ini begitu serius, pemeliharaan serius adalah sangat diharapkan kerana setakat ini pencegahan sahaja yang dapat diusahakan.

Perubahan iklim global merupakan malapetaka yang akan datang. Kita telah mengetahui sebabanya iaiatu manusia yang terus-menerus menggunakan bahan bakar yang berasal dari fosil seperti batu bara, minyak bumi dan gas bumi. Sebahagian dari akibat pemanasan global ini ialah mencairnya gunung es di kutub, meningkatnya suhu lautan, kekeringan yang berpanjangan, penyebaran wabak penyakit berbahaya, banjir besar, 'coral bleaching' dan gelombang badai besar (tsunami). Puluhan penyakit muncul sebagai akibat perubhan iklim. Sepuluh peratus dari keseluruhan penduduk dunia diperkirakan akan tenggelam kerana mencairnya gunung es. Populasi penduduk dunia semakin padat. Akibatnya, manusia melakukan kegiatan untuk mempertahankan hidup dengan cara yang moden. Kehidupan moden tak lepas dari industri dan teknologi serta pembangunan di mana-mana. Bumi semakin cepat melepaskan radiasinya, sementara udara dekat permukaan bumi semakin panas dan kurang vegetasinya.

Sekitar tahun 1976- 2008 sebanyak 30 penyakit baru muncul akibat perubahan iklim dan pemanasan global seperti demam berdarah, kolera, diare, disusuli virus ebola dan lain-lain. Perubahan iklim juga menghasilkan munculnya berbagai jenis penyakit yang mengalami mutasi genetis, avian influenza misalnya. Para ahli penyakit mengatakan, virus itu sudah ditemukan pada unggas puluhan tahun lalu. Dengan terjadinya mutasi dan suhu lingkungan yang meningkat, virus itu dengan mudah menyebar dari unggas ke manusia. Selain menyebabkan gangguan kesihatan, perubahan iklim juga mengakibatkan berbagai bencana alam yang sangat besar. Sepanjang 2006 telah terjadi 390 bencana besar di dunia, yang mengakibatkan banyak korban.

Di negara kita, langkah-langkah bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai pentingnya menjaga iklim sering kali dilaksanakan baik di peringkat sekolah, penduduk kampung, persatuan-persatuan, jabatan-jabatan kerajaan dan sebagainya. Berbagai aktiviti dan kempen kebersihan alam sekitar, taman-taman rekreasi, pantai-pantai telah dilaksanakan. Larangan bagi pembakaran terbuka juga dikuatkuasakan. Penanaman anak-anak pokok bagi menghasilkan bumi hijau juga dilaksanakan. Semua aktiviti ini merupakan langkah bagi menyeru dan memberi kesedaran kepada semua dalam menyelamatkan iklim dunia.

Sabtu, 4 Julai 2009

Masalah Disiplin Pelajar

Jelaskan punca-punca dan langkah mengatasinya.

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggung jawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

Kemelut ini mudah dibendung jika ibu bapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

Punca Kepanasan Global

Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding dengan suhu normal. Hal ini menyebabkan kita terasa panas walau pun pada waktu malam.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh aktiviti yang dilakukan oleh manusia seperti penebangan hutan, aktiviti perindustrian, pembakaran terbuka, pelepasan asap kenderaan, penerokaan hutan untuk aktiviti pembangunan dan lain-lain.

Kesilapan manusia terhadap alam sekitar menyebabkan banyak kesan negatif yang telah berlaku. Antara yang paling ketara ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Selain itu, berlakunya kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.

Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah penipisan lapisan ozon akibat pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC).

Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba, hujan asid dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global.

Mari kita mengenal bagaimana setiap proses ini berlaku sehingga menyebabkan berlakunya pemanasan global ini.
Jerebu boleh mengurangkan jarak penglihatan

Jerebu boleh mengurangkan jarak penglihatan

1) JEREBU

Jerebu berlaku disebabkan terdapat banyak debu, asap, habuk dan bahan-bahan pencemar lain yang terapung-apung di udara akibat aktiviti manusia dan secara semulajadi. Fenomena jerebu ini boleh mengurangkan jarak penglihatan. Selain itu, jerebu juga boleh menjejaskan kesihatan manusia, misalnya kesukaran untuk bernafas.
penipisan lapisan ozon membawa kebimbangan kepada dunia

Penipisan lapisan ozon membawa kebimbangan kepada dunia

2) PENIPISAN LAPISAN OZON

Klorofluorokarbon (CFC) merupakan penyumbang utama kepada penipisan lapisan ozon. Gas CFC terkandung dalam alat-alat seperti penyaman udara, aerosol dan peti sejuk. Semasa CFC dibebaskan di atmosfera, klorin akan bertindak dengan ozon dan membebaskan oksigen. Akibatnya, lapisan ozon semakin nipis.Penipisan lapisan ini akan menyebabkan sinaran ultraungu sampai terus ke permukaan bumi dan boleh memberi kesan negatif kepada manusia seperti penyakit kanser kulit dan katarak mata.
Suhu bumi akan meningkat

Suhu bumi akan meningkat

3) KESAN RUMAH HIJAU

Kesan rumah hijau adalah fenomena pemanasan bumi akibat banyak haba terperangkap dalam lapisan atmosfera dan menghalang pembalikan semula bahang dari bumi ke atmosfera. Haba dipantulkan semula ke bumi, atmosfera menyimpan lebih banyak haba dan bumi menjadi semakin panas. Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera.
Kawasan bandar menjadi panas berbanding sekitarnya.

Kawasan bandar menjadi panas berbanding sekitarnya.

4) PULAU HABA BANDAR

Pulau haba bandar merupakan fenomena atmosfera yang berkaitan dengan peningkatan suhu yang tinggi di dalam kawasan bandar berbanding kawasan sekitarnya. Ia berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar. Akibatnya kita boleh mendapat sakit kepala.
Hujan asid merbahaya kepada kesihatan manusia.

Hujan asid merbahaya kepada kesihatan manusia.

5) HUJAN ASID

Di kawasan perindustrian seperti Petaling Jaya, kilang membebaskan asap yang mengandungi gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida. Tindak balas gas ini dengan wap air dalam udara membentuk asid nitrik dan asid sulfurik lemah. Apabila hujan, ia dikenali sebagai hujan asid. Hujan asid boleh memusnahkan tumbuh tumbuhan, merosakkan binaan, mencemarkan air dan mengancam hidupan air. Kesihatan manusia terjejas akibat kesan secara langsung hujan asid.
Kemarau menyebabkan tanah menjadi tandus dan gersang

Kemarau menyebabkan tanah menjadi tandus dan gersang

6) KEMARAU

Kegiatan manusia menebang hutan secara berleluasa akan mengurangkan kawasan tumbuh-tumbuhan. Kesannya, semakin kurang kelembapan dilepaskan oleh tumbuh-tumbuhan ke udara. Udara yang kurang lembap tidak akan membawa hujan dan kemarau pun berlaku.

Apabila berlakunya faktor-faktor di atas secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu kepada bumi. Cuba lihat graf di bawah ini yang menunjukkan suhu bumi yang semakin meingkat dengan cepat dari tahun ke tahun.
Trend kenaikan suhu membimbangkan kita terhadap isu pemanasan global

Trend kenaikan suhu membimbangkan kita terhadap isu pemanasan global

Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal lagi akibat berlakunya peningkatan suhu ini.

Marilah kita sama-sama menginsafi diri kerana hanya bumi ini sajalah tempat tinggal kita. Tiada lagi planet lain yang boleh kita jadikan ganti selain bumi.. Hargailah pemberian Allah yang paling bermakna ini. Janganlah kita cemarinya lagi. Jangan sampai anak cucu kita menyalahkan kita disebabkan kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini.

Strategi Menulis Karangan

Ada lima langkah penting yang perlu anda ikut apabila menulis karangan.

1. Memilih tajuk yang tepat
2. Mencari kunci tajuk
3. Menyediakan rangka karangan
4. Menulis karangan
5. Menyunting atau menyemak karangan.

Memilih Tajuk yang Tepat

1. Sesuai dengan pengetahuan, pemahaman, dan keupayaan anda menghuraikannya atau mengembangkannya sehingga menjadi karangan yang cukup isinya.
2. Faham akan kehendak tajuk.
3. Berupaya menghuraikannya atau mengembangkannya.
4. Pilih tajuk yang benar-benar anda kuasai supaya karangan yang anda tulis itu tepat, padat, dan bernas.
5. Fahami format dan laras bahasa karangan yang hendak anda tulis.

Mencari Kunci Tajuk

1. Antara kata atau rangkai kata yang mungkin menjadi kunci tajuk termasuklah kata atau rangkai kata seperti bincangkan, gambarkan, cadangkan, tulislah, andaikan, nyatakan pendapat anda, dan sebagainya.
2. Selepas memahami kunci tajuk, rancanglah rangka karangan anda supaya sesuai dengan kehendak soalan.

Menyediakan Rangka Karangan

1. Rangka karangan penting supaya anda tidak lupa akan fakta-fakta atau isi-isi penting yang hendak anda huraikan.
2. Dengan merujuk kepada rangka isi karangan, anda akan dapat menulis karangan secara tersusun dan tidak menyimpang daripada kehendak tajuk atau soalan.
3. Rangka karangan hendaklah ringkas dan sebaik-baiknya ditulis dalam bentuk isi-isi penting.
4. Rangka karangan anda mestilah terdiri daripada

a) Pendahuluan
b) Isi-isi penting
c) Penutup

Menulis Karangan

1. Pada umumnya ada dua aspek utama yang dinilai pada karangan anda, iaitu aspek isi dan aspek bahasa.
2. Aspek isi dinilai dengan berdasarkan perkara-perkara berikut:

a) pertalian antara isi-isi dengan tajuk. Isi yang dipilih mestilah berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
b) kematangan fikiran anda menghuraikan dan memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
c) Isi-isi perlu disusun secara tertib.

3. Aspek-aspek bahasa pula dinilai dengan berdasarkan perkara-perkara berikut:

a) penggunaan tatabahasa
b) ejaan
c) penggunaan tanda baca
d) pembahagian perenggan
e) pemilihan kata yang tepat.





Pendahuluan

1. Pendahuluan hendaklah ditulis dalam satu perenggan sahaja dengan menyentuh sesuatu perkara yang ada kaitannya dengan tajuk karangan secara umum.
2. Pendahuluan yang baik ialah yang dapat menarik minat pembaca serta mendorongnya untuk terus membaca.

Pembinaan Perenggan

1. Sebaik-baiknya satu perenggan harus berisi satu isi penting sahaja. Isi penting ini pula mestilah disertai isi-isi sampingan sebagai huraian lanjut kepada isi penting dan disertai contoh-contoh pula. (Isi Penting---- Huraian Lanjut ---- Contoh)
2. Huraian lanjut merupakan keterangan atau penjelasan sama ada maklumat tambahan, bahasan, ulasan, dan sokongan tentang isi penting.

Penjalinan Perenggan

1. Karangan yang baik mestilah mempunyai hubungan antara perenggan pertama dengan perenggan-perenggan yang lain.
2. Untuk memperlihatkan perkaitan antara isi, gunakan penanda wacana seperti namun demikian, walau bagaimanapun, sebaliknya, tambahan pula, dan sebagainya.

Penutup Karangan

1. Penutup karangan adalah kesimpulan karangan anda di samping dapat membayangkan pendirian anda tentang tajuk.
2. Kesimpulan dalam perenggan penutup mestilah lebih umum dan padat.



Menyemak Karangan

1. Tentukan agar isi-isi penting tidak tertinggal.
2. Tambahkan contoh jika perlu.
3. Semak aspek bahasa, ejaan, tanda baca, dan tatabahasa.
4. Semak jumlah kata dalam karangan anda.


Contoh : Belakangan ini stesen-stesen televisyen di negara kita banyak menyiarkan rancangan hiburan yang tidak mendorong perkembangan minda golongan remaja. Anda ingin memperkatakan hal tersebut serta nyatakan beberapa contoh rancangan yang anda maksudkan itu dan kemukakan alasan kritikan serta cadangan anda itu.

Pendahuluan

Televisyen merupakan media yang kuat pengaruhnya kepada penonton terutamanya golongan remaja. Terdapat beberapa rancangan yang kurang sesuai untuk mereka.

Isi-isi

Kesan rancangan hiburan

- mendedahkan budaya barat yang bertentangan dengan budaya timur. Remaja terpengaruh oleh cara-cara berpakaian, pertuturan dan sebagainya. Beri contoh
- Pemaparan unsur seks dan keganasan yang berlebihan. Mendorong remaja melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Melakukan jenayah dan merebak penyakit sosial. Beri contoh
- Saranan rancangan yang sesuai.
- Rancangan yang berunsur keagamaan dan menekan nilai moral
- Rancangan yang memberi pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi
- Rancangan yang berupaya meningkatkan kemahiran berfikir remaja.
- Rancangan yang menampilkan kerjaya tokoh-tokoh yang mengutamakan nilai-nilai ketimuran.

Penutup

Televisyen mestilah menjadi ciptaan sains dan teknologi yang berupaya melahirkan manusia yang lebih berkualiti, bukan yang rosak akhlaknya.

Punca Kemalangan Jalan Raya

• sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya
• memandu dalam keadaan mengantuk atau mabuk
• sikap suka berlumba dan terlibat dalam lumba haram
• keadaan jalan raya yang sibuk terutamanya pada musim perayaan
• kenderaan yang tidak diperiksa dan dijaga dengan baik
• keadaan / sistem jalan raya kurang baik
• kelemahan penguatkuasaan undang-undang

Langkah-langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya
Pengguna Pihak Berkuasa

•Memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

•Undang-undang dan peraturan jalan raya perlu diperketat(Polis,JPJ,dan pihak berkuasa tempatan).

•Mendapatkan rehat secukupnya selepas memandu dalam keadaan yang lama.

• Sistem jalan raya perlu dikemaskinikan.
Jalan raya perlu dilebarkan. Lampu isyarat, simpang jalan, bulatan dan jejambat
dibina untuk kemudahan melintas.
• Mematuhi undang-undang jalan raya.

Kesan Kemalangan Jalan Raya
•banyak nyawa terkorban / mengakibatkan kecederaan dan hilang keupayaan
•banyak harta benda yang musnah – melibatkan kerugian kepada pengguna dan kerajaan
•menjejaskan ekonomi negara – negara terpaksa menaik taraf jalan raya, pelancong bimbang untuk datang ke negara kita
•menjejaskan imej negara di kalangan masyarakat antarabangsa