CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 9 Julai 2009

Telefon Bimbit

Dewasa ini, setiap lapisan masyarakat khususnya golongan remaja memiliki telefon bimbit. Tetapi, apakah kepentingan telefon bimbit kepada para pelajar? Mengapakah semakin ramai pelajar sekolah memiliki telefon sendiri? Mungkinkah ada yang pihak-pihak yang menganggap bahawa telefon bimbit harus dimiliki oleh para pelajar untuk keselamatan mereka. Persoalannya, adakah telefon bimbit menjadi keperluan atau untuk bergaya semata-mata?

Menurut peraturan sekolah, para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Penulis berpendapat, telefon bimbit memang tidak diperlukan oleh para pelajar sekolah. Seseorang pelajar tidak mempunyai masa di sekolah untuk menggunakan telefon bimbitnya, tambahan pula terdapat kemudahan telefon awam di sekolah.

Telefon bimbit mungkin digunakan oleh pelajar semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan dijadikan alat bagi menyatakan statusnya. Hal ini akan menyebabkan perkara-perkara buruk seperti pengasingan pelajar miskin daripada pelajar yang berada. Masalah ini mengakibatkan golongan kaya angkuh dan malas manakala yang miskin tersisih.

Selain itu penulis juga berpendapat bahawa penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar hanya membazirkan wang ibu bapa dan membuang masa mereka. Perbualan kosong yang berlarutan antara pelajar melalui telefon menyebabkan sikap hedonistik dan berat tulang. Sebenarnya, telefon bimbit menggalakkan pelajar berkurung dalam bilik dan berbual-bual dengan rakan mereka tanpa pengetahuan orang lain.

Tidak dapat dinafikan bahawa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) memudah dan mempercepat urusan berkomunikasi. Walau bagaimanapun, penggunaan SMS oleh para pelajar mencemari bahasa kita. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang betul telah dicemari dengan penggunaan pelbagai singkatan dan ejaan yang silap. Akibat amalan ini, pelajar-pelajar yang lemah penggunaan bahasa akan menggunakan singkatan dan ejaan tang salah ini semasa berurusan dengan orang lain. Secara tidak langsung, imej negara kita dalam bidang komunikasi dan pendidikan akan jatuh.