Globalisasi & Modenasasi : Punca Gejala Sosial
Punca – punca utama yang mendatangkan gejala sosial adalah globalisasi dan modenasasi. Perubahan-perubahan pantas tahap nasional berlaku kerana perubahan pada arus global yang digelar globalisasi. Globalisasi tidak saja ditandai dengan dominasi ekonomi tetapi ia merentasi ke arah budaya dan pemikiran. Pembudayaan kota (city culture) menuruti landasan Barat berlaku dengan lebih pantas dan agresif dengan adanya teknologi maklumat dan multi media sebagai kenderaan yang amat berkesan untuk melakukan agenda globalisasi.
Lazimnya, kita sebagai manusia mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara baru dan trendy, yakni bukan dari budaya ketimuran. Tidak mustahil kita akan jatuh terpengaruh dan mengikut arah aliran kebaratan, terutama sekali golongan belia. Contohnya seperti mewarnakan rambut, memakai anting-anting atau tattoo bahkan sampai kepada hal-hal yang sangat teruk seperti pengambilan minuman keras dan pergaulan bebas yang boleh menjurus kepada masalah – masalah gejala sosial yang lebih serius. Mungkin sesetengah orang menganggap ini merupakan satu fenomena yang biasa namun di negara yang masih berpegang teguh pada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) seperti Brunei Darussalam, ia merupakan satu perkara yang keterlaluan dan perlu dielakkan.
Globalisasi bergerak seiringan dengan modenasasi. Dalam dunia serba moden ini, masyarakat mementingkan prestij dan kemewahan; oleh sebab itu, mereka menjadi semakin individualistik dan materialistik. Bandingkan dengan masyarakat tradisional, masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi, kompetitif dan tidak lagi menganggap saudara-mara atau jiran-jiran sebagai kelompok rujukan, bahkan adat tradisional seperti memuncang-muncang juga sudah ditinggalkan. Bukan saja ini berpaling daripada budaya kita sebagai orang Melayu tetapi juga daripada tuntutan agama Islam.Ukhuwah atau persaudaraan adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam memandangkan ianya akan dapat mengukuhkan perpaduan sesama manusia, khususnya sesama muslim.
Firman Allah SWT :
” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” Surah Al Hujuraat : Ayat 13
Semua orang mukmin adalah bersaudara, dan oleh yang demikian, ishlah (atau perhubungan baik) perlukan diwujudkan. Sekiranya terjadi ketidaksefahaman antara dua kelompok orang Islam, maka al-Quran telah memberikan contoh penyebab yang menyebabkan keretakan hubungan, sekaligus melarang setiap Muslim dari melakukannya.
Bentuk - Bentuk Manifestasi Globalisasi & Modenasasi Yang Membawa Kepada Gejala Sosial Dalam Masyarakat
• Media Massa
Pengaruh modenisasi dan globalisasi in lebih terasa dan ketara dengan bantuan berbagai alat media-massa yang serba canggih. Media massa merupakan sumber maklumat yg cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, namun tidak semua maklumat- maklumat itu sesuai untuk kesemua peringkat umur.Ini menjadi masalah kerana lazimnya golongan belia mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang ditonton.
• Internet
Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) juga turut menyumbang kepada pemaparan gejala-gejala negatif selain peranannya yang begitu penting bagi kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Melalui internet umpamanya, masyarakat yang berfikiran kurang sehat dengan mudahnya boleh akses kepada maklumat-maklumat yang boleh menjurus ke arah pemikiran negatif.
• Institusi Kekeluargaan Yang Goyah
Institusi kekeluargaan yang bermasalah juga boleh menimbulkan gejala sosial. Ibu bapa seharusnya menerap dan mendidik anak-anak mereka dari kecil. Sekiranya, ibu bapa bersikap sambil lewa terhadap pendidi kan agama anak-anak mereka, ini akan menjadi satu faktor punca gejala sosial.Dan lagi, dengan bertambahnya komitmen ibu bapa terhadap kerjaya mereka, masa diluangkan untuk keluarga itu terhad. Ini akan membuat anak - anak kurang mendapat kasih sayang dan tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kegersangan kasih sayang. Selain daripada itu, rumahtangga yang bermasalah juga, seperti perceraian dan pergaduhan turut mempengaruhi remaja untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
• Cara Berpakaian
Jika kita perhatikan pakaian sesetengah golongan muda di masa ini cukup memalukan. Cara berpakaian mereka bertentangan dengan cara pakaian budaya melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Mereka begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno, dan berfikiran sempit.
Sayangnya, tidak semua dapat menerima pendapat bahawa mereka ada memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan seks bebas. Walaupun Brunei Darussalam sebuah negara MIB, kita tidak dilarang berfesyen, akan tetapi berpadalah dengan aturan dan garis panduan syarak dan budaya yang telah ditetapkan.
Firman Allah s.w.t:
"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman,supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar),cara itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik),dengan itu mereka tidak diganggu, dan ingatlah Allah amat pengampun lagi amat mengasihani". Al-Ahzab : Ayat 59
• Dunia Cinta Remaja
Di zaman moden ini, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah SWT. Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Tetapi sekiranya perasaan ini tidak dikawal, sudah tentu ini akan menimbulkan gejala - gejala sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya.
Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.
• Terlalu Banyak Masa Lapang
Sekiranya masa lapang golongan belia terbatas,mereka akan rasa kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja untuk melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat seperti perbuatan negatif.
KESAN – KESAN GEJALA SOSIAL TERHADAP MASYARAKAT
Semua ini membawakan kesan – kesan negatif pada budaya dan cara hidup kita. Kebudayaan secara umum merupakan identiti keperibadian bangsa. Kebudayaan merupakan manifestasi konkrit norma-norma dan nilai-nilai sebuah masyarakat yang membezakannya daripada masyarakat masyarakat yang lain yang mempunyai sistem-sistem nilai yang berlainan. Struktur kehidupan sosial masyarakat banyak berubah. Budaya moden telah mempengaruhi 'keolahan dan tingkah laku', cara berfikir termasuk penghayatan terhadap ajaran agama.
Muda-mudi bergaul bebas, tidak menghiraukan batas-batas ajaran agama, tatasusila dan nilai-nilai murni ketimuran. Begitu juga dari segi pakaian.
Gaya hidup moden juga menjadikan sebilangan masyarakat bersikap individualistik, mengabaikan sikap kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat. Tradisi memuncang-muncang semakin pupus disebabkan urusan kenduri kendara dikendalikan menggunakan catering, manakala peralatan sama ada disewa atau dibeli. Kebanyakan masyarakat ketika ini juga bersikap 'materialistik' untuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup.