Sudah beberapa kali Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Pesta Buku. Malah Berapa kalikah awda mengunjungi pesta itu? Bandingkan dengan kunjungan awda ke jualan barang-barang hiasan rumah, kain baju, peralatan elektrik dan sebagainya. Di sana dapat awda mengukur sejauh mana awda mendekati buku dan keinginan untuk membaca.
Apakah sebenarnya buku itu? Tidak kira apa jenisnya; buku politik, buku ekonomi sains atau sekadar novel picisan atau lelucon, bukan dihasilkan dengan penumpuan mendalam oleh pengarangnya. Bukan mudah dan mengambil masa singkat untuk menghasilkan sebuah buku. Seorang profesor menghabiskan masa bertahun-tahun menyelidik bagi membuahkan satu teori. Seorang ahli politik menempuh pelbagai dugaan suka duka, sepak terajang dan siasah untuk diabadikan pada generasi masa depan, seorang novelis memerah otak demi memastikan apa yang dikisahkan menimbulkan kesan mendalam. Nyata bahawa segala perahan fikiran dari pelbagai sudut, ditumpahkan dan diadun dalam penulisan bagi menghasilkan sebuah buku. Kerana itulah sering disebut-sebut bahawa buku adalah gedung ilmu.
Itu peringkat pengadunan idea dan pandangan. Lain lagi peringkat tekniknya. Soal penyuntingan, ‘layout’, tajuknya, jenis fon yang tidak menyakitkan mata, muka surat yang mudah, jenis kertas yang digunakan, urusan pencetakan, hak cipta, honorarium, kerja-kerja pemasaran dan yang penting harganya tidak mahal. Soal bahasa, jalan cerita yang stereotaip tidak mengapa, konflik novel yang sudah jadi klise pun tidak jadi hal. Asal buku berjaya menggamit rasa kumpulan sasar, sudah cukup. Pihak penerbit mengeluarkan pelaburan sebelum sebuah buku terhasil menjadi kenyataan. Jangka masa menerbitkan sebuah buku jauh lebih lama dan kompleks dari sekadar membelinya. Jadi kenapa tidak membeli curahan ilmu itu yang terkumpul dalam sebuah buku?
Cuba lihat bagaimana pelanggan membeli sebuah buku. Dari mata turun ke hati. Terpandang saja satu tajuk yang menarik terus jatuh cinta. Kulit buku cantik mengundang seseorang untuk mendekati buku. Langkah kedua, buku disemak muka depannya untuk mengetahui siapa penerbitnya. Kemudian ulasan ringkas pula dibaca, di kulit belakang buku. Setelah berkenan, seluk poket. Buku pun dibeli. Mudah bukan?
Inilah senario penerbitan buku dan bagaimana ianya sampai ke tangan pembaca. Bagi yang ‘gila’ buku, biasanya ia melihat dulu siapa pengarangnya, siapa penerbitnya, tahun bila diterbitkan dan apa soalan yang dikemukakan oleh pengarang. Soal harga belakang kira. Yang lain pula melihat harganya dulu kemudian tajuknya, terutama buku-buku novel. Jika pelanggan dari jenis manusia sentimental tajuk-tajuk yang menyentuh hati pasti cepat memancing untuk menyeluk poket bagi membeli buku itu. Sebab itu ada pengarang yang suka berulit dengan kata-kata cinta, sayang, rindu, romantis, cantik, indah, molek dan sebagainya.
Menggemari buku
Balik pada soalan awal tadi. Sejauh mana awda menggemari buku dan membaca? Ada yang kata dia tidak ada masa untuk membaca. Cukuplah berulit dengan buku masa di kolej atau di universiti. Ia ingin menikmati hidup di luar dunia buku. Betulkah begitu? Semua orang pun cuma ada 24 jam sehari. Beberapa minit diambil dari 24 jam sehari memadai. Ini akan membentuk diri awda menjadi manusia yang terus mengamalkan pendidikan sepanjang hayat. Otak tidak bertagar dan buntu.
Ada juga yang berpendapat bahawa buku sudah tidak penting. Orang sekarang mahu membina masyarakat tanpa kertas atau ‘paperless society’. Jangan salah tafsir. ‘Paperless society’ tidak bermakna awda memberhentikan soal membaca. Bukalah komputer, awda akan terus membaca walaupun huruf-huruf yang keluar berbentuk fon elektronik. Silalah layari laman web ilmu. Awda akan menemui pelbagai jenis buku yang ada di dalam pasaran. Buku masih relevan dalam dunia siber.
Di negara Barat di mana ketua pentadbir, CEO atau presidennya kesuntukan masa untuk membaca buku-buku tebal ribuan muka surat, mereka mengupah tukang-tukang baca untuk mendapatkan maklumat penting dari buku tersebut. Bahagian-bahagian dalam buku itu yang ‘dibanar-banarinya’ dan dibaca untuk dijadikan rujukan semasa menyampaikan ucapan-ucapan polisi, ceramah atau seminar. Jadi nampak benar mereka masih menyukai buku. Mereka mencari jalan untuk mengikuti aliran pemikiran penulis masa kini dan tidak dikatakan orang jahil dan singkat ilmu.
Hidup zaman moden ini sungguh canggih. Misalnya siapa kata orang buta tidak boleh membaca. Ilmu Braille dikembangkan. Maka adalah buku yang sama diterbitkan dalam bentuk Braille. Satu lagi kemajuan yang dicipta ialah buku dalam bentuk audio. Kalau mata tidak nampak untuk membaca, gunakan telinga. Orang cacat boleh berbuat demikian kenapa mereka yang dikurniai pancaindera sempurna tidak menggunakannya untuk tujuan murni. Kita segar dengan lagu-lagu ‘hip hop’ atau ‘heavy metal’. Kenapa tidak segarkan diri juga dengan sekurang-kurangnya ‘membaca’ buku-buku audio.
Umat Islam sudah dipandu dengan pengajaran bahawa wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah Iqra ... Bacalah. Maka itu, marilah kita ikut ajaran itu.
Dalam sejarah kegemilangan Islam terdapat beribu-ribu kitab terkumpul di perpustakaan-perpustakaan Baghdad, Basrah dan Kaherah. Umat Islam zaman tersebut menyanjung ilmu dan menghargainya. Misalnya dalam zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abasyiah, ketika kota Baghdad diserang oleh tentera Monghul, diberitakan beratus ribu kitab-kitab di Perpustakaan Diraja Kota Baghdad dihumban ke Sungai Furat sehingga air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam kerana dakwat dari kitab-kitab tersebut cair.
Jangan cepat naik radang bila orang kata kita orang bodoh. Lihat aspek positifnya. Nah, ruang kamar awda di rumah itu cuba jeling-jeling. Berapa naskhahkah buku yang ada? Apakah jenisnya? Adakah buku yang tersimpan jadi hiasan itu adalah buku yang dibeli dalam zaman persekolahan, 40 tahun lalu atau bahan sentimental dari buah hati yang sekarang menjadi isteri atau suami awda? Anak-anak muda pula cuba bandingkan jumlah dvd yang tersusun rapi dengan bahan yang digelar sebagai buku? Mana yang lebih banyak? Fikir-fikirkanlah sendiri. Buku gedung ilmu. Suruhan agama menyuruh kita, ‘Bacalah’. Kalau tidak dapat baca dengan ‘mata’, baca saja dengan ‘telinga’. Keputusannya ada di tangan awda.