CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 28 Mei 2009

Kenali Negara Sendiri

KENALI NEGARA SENDIRI:
Galakkan pelancongan dalam negara
PELANCONGAN merupakan salah satu sektor yang berpotensi dalam menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan terus-menerus berusaha menyediakan prasarana dan meningkatkan promosi untuk menarik pelancong luar ke negara ini.
Ini selaras dengan usaha kerajaan mempelbagaikan sumber ekonomi negara agar tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas semata-mata. Sektor ini jika dapat dimajukan sememangnya boleh menyumbang kepada pertumbuhan sektor-sektor perniagaan yang lain.
Sektor pelancongan kini sudah mempunyai cabang yang banyak meliputi pelancongan rekreasi, pelancongan perniagaan, pelancongan sukan, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan dan sebagainya.
Jika sektor pelancongan ini boleh dimajukan dengan pesatnya, para peniaga dan pengusaha pelbagai sektor lain juga akan dapat meraih manfaat yang banyak. Antaranya ialah sektor perniagaan runcit, pengangkutan, komunikasi, perhotelan, restoran, perusahaan kraf tangan dan banyak lagi.
Di setengah negara, sektor pelancongan bukan sahaja ditumpukan kepada pelawat dari luar negeri tetapi juga menggalakkan masyarakat tempatan untuk melancong di negara sendiri.
Ruangan FOKUS kali ini hanya akan memperkatakan mengenai usaha menggalakkan rakyat dan penduduk negara ini 'mengenali negara sendiri' melalui pelancongan dalam negeri. Pada masa yang lepas ruangan ini telah membicarakan mengenai pelancongan secara umum.
MELAWAT
Masyarakat kita memang suka melawat ke luar negara terutama pada setiap musim cuti penggal persekolahan. Ketika itu kebanyakan ibu bapa juga mengambil cuti untuk membawa anak-anak melancong ke luar negeri terutama ke negara-negara jiran.
Tujuan utama melancong ialah untuk berehat dan menimba pengalaman baru. Lawatan ke luar negara tidak akan lengkap jika tidak melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah selain membeli-belah.
Tentu sekali banyak wang yang terpaksa dibelanjakan terutama jika melancong bersama keluarga yang agak ramai. Perkara tersebut tidak menjadi masalah kepada mereka yang 'berada' tetapi sukar bagi yang berpendapatan rendah.
Sebenarnya banyak alternatif lain yang boleh dilakukan untuk membawa keluarga berehat dan bersantai bagi mengisi masa terluang pada musim percutian. Antaranya ialah melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah yang terdapat di negara ini.
Negara kita juga tidak kurang mempunyai tempat-tempat yang menarik dan penting untuk dilawati di keempat-empat daerah. Terdapat sekitar 90 tempat menarik dan bersejarah yang penting untuk dilawati dan diketahui.
Antaranya ialah Kampong Ayer, Taman Negara Kuala Belalong, Wasai Wang Kadir, Pantai Muara, Pantai Seri Kenangan, Pantai Berakas, Taman Warisan Tasek Merimbun, Bukit Patoi dan lain-lain.
Selain dari itu terdapat juga banyak bangunan-bangunan seperti Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Muzium Kota Batu, Muzium Teknologi Brunei, Bangunan Bubungan Dua Belas dan banyak lagi.
Begitu juga dengan tempat-tempat bersejarah, umpamanya Makam Sultan Bolkiah dan Sultan Syarif Ali di Kota Batu, Makam di Luba, Mercu Tanda Penghasilan Minyak di Seria dan sebagainya.
Kampong Ayer pada misalnya merupakan tempat yang unik dan bersejarah. Perkampungan ini memang cukup dikenali oleh masyarakat luar negeri. Tidak sah bagi para pelancong yang melawat ke negara ini jika tidak berkunjung ke Kampong Ayer. Selain keindahan dan keunikan budaya hidup masyarakatnya, ia juga merupakan perkampungan di atas air yang terbesar di dunia.
Apa yang menghairankan, terdapat sebilangan orang kitani terutama remaja dan belia yang belum pernah menjejakkan kaki melawat ke Kampong Ayer, sedangkan pelancong luar negeri begitu ghairah dan sanggup datang dengan belanja yang agak tinggi untuk melihat Kampong Ayer dan tempat-tempat menarik yang lain secara lebih dekat.
Kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, kenapa pelancong asing yang datang dari jauh begitu mengagumi keindahan dan keunikan negara ini. Kenapa pula sebilangan masyarakat kita tidak berminat untuk menjelajah ke ceruk rantau negara sendiri?
Janganlah pula nanti jika ditanya oleh pelancong luar, kita sendiri tidak mengetahui mengenai sejarah, tempat atau budaya yang terdapat di negara ini. Atau mungkinkan orang luar negeri lebih mengenali negara ini dari kita sendiri.
KENALI
Kita sering menyebut dan merangsang semangat cintakan bangsa dan negara. Kata orang 'tak kenal maka tak cinta'. Bagaimana mungkin seseorang mencintai negaranya jika dia tidak mengetahui dan memahami dengan jelas mengenai sejarah, budaya, persekitaran dan sebagainya.
Terdapat sebilangan masyarakat terutama remaja atau pelajar yang belum pernah menjejakkan kaki ke Daerah Temburong, tetapi sudah banyak membuat lawatan ke luar negara termasuk ke Eropah.
Sebenarnya usaha menyemai semangat patriotik, cintakan bangsa dan negara tidak akan mantap jika kita tidak mengenali asal usul, sejarah, budaya, cara hidup dan persekitaran kita.
Dalam hal ini kita patut memberikan pendedahan kepada anak-anak mengenai perkara tersebut sejak dari kecil lagi. Biarlah mereka mengenali bangsa dan negaranya dan berterusan mencintainya.
Ketika ini para pelajar sedang menjalani cuti penggal akhir persekolahan. Masa yang terluang itu perlu diisikan dengan kegiatan-kegiatan yang berfaedah dan boleh mendatangkan manfaat.
Jadi daripada membuang masa asyik menonton televisyen, melayari internet atau ronda di 'shopping complex' maka adalah lebih baik mengajak kawan-kawan untuk melawat ke tempat-tempat yang menarik di negara ini.
Ibu bapa juga sebaiknya menyusun program dan aktiviti untuk mengisi masa percutian anak-anak mereka. Antaranya ialah membuat lawatan di dalam negeri atau berkelah ke pantai-pantai, tasik-tasik atau taman-taman rekreasi yang terdapat di negara ini.
Di samping dapat berehat dan bersantai melepaskan lelah setelah penat bekerja atau belajar, anak-anak juga akan dapat menimba pengalaman baru. Pada masa yang sama ia juga akan dapat memupuk kemesraan dalam kehidupan berkeluarga.
PAKEJ
Sebilangan masyarakat kita tidak terdedah atau mengetahui terdapatnya banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di negara ini. Ada juga di antaranya yang tidak mengetahui cara untuk sampai ke tempat tersebut termasuk kemudahan-kemudahan asas yang disediakan.
Mungkin sudah samapai masanya ada pengusaha atau syarikat yang memperkenalkan pakej pelancongan dalam negeri terutama pada musim cuti persekolahan. Umpamanya pakej secara terancang yang menyediakan kenderaan sama ada kereta, bas atau perahu untuk sampai ke tempat-tempat yang agak susah didatangi.
Kemudahan lain termasuk tempat penginapan, perkhemahan dan seumpamanya juga patut disediakan oleh pengusaha yang terlibat. Selain dari itu pengusaha juga patut menyediakan pelbagai aktiviti dan kegiatan menarik kepada pelawat sepanjang berada di tempat-tempat berkenaan.
Jika usaha seperti ini dimulai secara terancang dengan melibatkan pihak sekolah, pertubuhan-pertubuhan, syarikat-syarikat, ibu bapa dan sebagainya, maka kita percaya usaha tersebut akan dapat dimajukan.
Tentu sahaja pihak sekolah boleh menyusun program sambil belajar dengan mengadakan lawatan atau menginap secara berkumpulan di tempat-tempat yang difikirkan sesuai. Begitu jugalah halnya dengan pertubuhan-pertubuhan, pelbagai aktiviti berfeadah juga boleh dirancang.
Bagi agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat pula mereka boleh mengadakan 'retreat' untuk merangka dasar dan rancangan-rancangan bagi organisasi mereka di tempat yang tenang dan jauh dari kesibukan kota.
Kita mengharapkan ada pengusaha yang akan tampil dan memperkenalkan pakej sedemikian. Kata orang 'belum dicuba belum tahu', yang penting orang kitani perlu berani mencuba.
Kita yakin pakej sedemikian akan mendapat sambutan menggalakkan asalkan pengusaha dapat mengadakan program-program dan aktiviti-aktiviti menarik kepada rombongan yang menyertainya.
Antara aktiviti yang perlu diperkenalkan termasuklah menjelajah hutan dan bukit-bukau, aktiviti memburu atau menangkap binatang, aktiviti memancing atau menangkap ikan, mandi-manda di tasik atau air terjun.
Apa yang juga perlu diselitkan ialah aktiviti berbentuk kesenian dan tradisi masyarakat kampung. Rombongan juga boleh dibawa menyertai aktiviti mengetam padi pada musim menuai.
Pakej itu juga perlu memasukkan aktiviti permainan tradisional seperti permainan gasing, mainan congkak, kuit dan lain-lain. Begitulah juga halnya dengan lagu-lagu dan peralatan muzik tradisional termasuk kerja-kerja anyaman dan pertukangan.
Satu lagi aktiviti yang boleh diperkenalkan ialah mencari sayur-sayuran atau umbut dari hasil hutan yang kemudian digulai secara tradisional untuk dimakan bersama oleh peserta rombongan.
Aktiviti dan pengalaman sedemikian tentunya akan dapat menarik minat mereka yang belum pernah mengalaminya. Ia perlu didedahkan kepada para belia dan para pelajar di negara ini.